‘Ebit suruh suami saya ambil isteri dia, bertukar pasangan’

‘Ebit suruh suami saya ambil isteri dia, bertukar pasangan’

EBIT Lew semasa menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa Ebit Lew telah memperdaya dan merosakkan dirinya.

Pengadu berkata, Ebit memperdayanya secara halus sehingga bertindak memberikan gambarnya.

“Dia (Ebit) suruh saya bagi gambar, lepas itu saya cakap, saya isteri orang maka berdosa buat macam ini. Dia sebagai ustaz dia cakap semua ini tidak salah, jangan risau. Dia memperdaya saya secara halus sehingga saya terikut cakapnya.

“Malah, dia beritahu sebagai isteri tidak salah berhubung dengan dia, layan dia. Dia suruh suami saya ambil isteri dia, bertukar pasangan untuk buat hubungan intim. Dia suruh suami saya buat hubungan intim dengan isteri dia.

“Selepas itu dia minta gambar dan dia cakap semua ini tidak berdosa, sedangkan dia seorang ustaz. Sebagai seorang ustaz dan pendakwah yang orang percaya, apa yang dia buat itu seolah dia menipu depan umum. Dia nampak baik tapi hakikatnya, apa yang dia buat sangat keterlaluan,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas hari ini.

Malah katanya, Ebit sendiri memberitahu, ada mangsa lain dan mangsa itu pun sudah buat laporan polis. Jadi, pengadu buat laporan supaya tidak ramai mangsa lain macam dia yang terjerat dengan Ebit.

Dalam keterangannya, pengadu memberitahu apa yang Ebit buat seolah-olah dia menipu di hadapan umum. Ebit nampak baik tapi hakikatnya apa yang dia buat sangat keterlaluan.

Menurut pengadu, panggilan video selama 44 minit 9 saat yang dibuat bersama Ebit pada 20 Mei 2021, kira-kira pukul 7.50 pagi antara hari yang dia terpedaya dengannya. Sepanjang panggilan video tersebut, Ebit lebih banyak bercerita tentang kemahuan seksual dia yang tidak dapat dipenuhi oleh isterinya.

Ditanya mengapa pengadu tidak menamatkan panggilan video berkenaan, pengadu memberitahu itu antara kelemahan daripada dirinya namun, selepas itu dia memutuskan untuk menyekat nombor telefon Ebit.

Katanya, dia menyekat nombor telefon Ebit pada 11 Julai 2021dan sepanjang tempoh Mei hingga Julai, dia masih berkomunikasi dengan Ebit melalui aplikasi WhatsApp.

Pengadu menafikan dakwaan peguam bela, Datuk Ram Singh bahawa dia telah merancang untuk mengambil tangkap layar menerusi panggilan video berkenaan agar tangkap layar itu boleh digunakan terhadap Ebit.

Kata pengadu, dia tidak merakam panggilan video tersebut sebaliknya, hanya mengambil gambar tangkap layar. Dia turut menafikan bahawa tidak merakam panggilan berkenaan bukan kerana dia berkongsi sesuatu yang intim dengan Ebit.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya