TENOM: Saksi kesembilan iaitu pengadu memberitahu mahkamah bahawa sejak awal Ebit Lew memang pernah mengadu dia mempunyai masalah seksual keterlaluan iaitu lebih tujuh kali sehari.
Saksi yang dirahsia namanya menyatakan Ebit mengadu tentang masalah tersebut melalui panggilan telefon dan pendakwah itu juga memberitahu layanan daripada isterinya tidak cukup.
“Dia memang pernah mengadu. Dia ada hubungi saya dan beritahu perihal seks. Saya bertanya kenapa keterlaluan..kenapa dia ada keinginan seks yang tinggi, adakah dia ambil pil.
“Tapi, Ebit menjawab, dia tidak mengambil pil dan mengaku memang kuat dan perlukan seks lebih tujuh kali sehari. Tapi Ebit memberitahu isterinya tidak mampu,” katanya semasa memberi keterangan pada sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Dalam keterangannya, saksi sama menolak andaian peguam bahawa Ebit tidak pernah mengadu masalah seksual keterlaluan tersebut tetapi semuanya sekadar idea saksi untuk menjatuhkan reputasi Ebit.
Kata saksi itu lagi, Ebit memang pernah memberitahu mengenai masalah berkenaan kepadanya dan keterangan yang diberikan bukan daripada imiginasinya.
“Ebit yang cakap dan saya rasa dia pernah tulis dalam bentuk teks. Malah, dia pernah beritahu yang isterinya tahu dia selalu berada dalam bilik kosong untuk beronani. Tapi, isterinya tidak tahu dia telefon orang lain,” katanya.
Mengenai soalan peguam berkaitan jawapan saksi yang berkisar tentang seks, saksi memberitahu bahawa dia hanya menjawab apa yang ditulis oleh Ebit tetapi tidaklah keterlaluan seperti teks yang dihantar oleh Ebit.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.- UTUSAN