TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew,38, menafikan andaian peguam bahawa dia berniat untuk berjumpa dengan Ebit.
Pengadu menyatakan mesej ‘nanti tu bila? nak jumpa ke?’ yang dihantar kepada Ebit kira-kira pukul 11.54 malam, pada 17 Jun 2021 sekadar satu persoalan dan bukan berniat untuk berjumpa.
Saksi kesembilan menyatakan perkara itu semasa menjawab soalan dikemukakan peguam bela, Datuk Ram Singh semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Pengadu turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak menggoda Ebit apabila bertanya ‘kita sampai bila?’. Pertanyaan itu bukan bertujuan untuk menggoda.
“Tidak (goda), maksud saya sampai bila dia WhatsApp saya macam itu dan dia juga pernah ajak saya berjumpa tapi saya tidak mahu jumpa dia,” katanya.
Pengadu mengakui bahawa perbualan antara dia dan Ebit menerusi aplikasi WhatsApp pada 7 Mei 2021 berkait tentang seks. Tapi, dia sekadar membalas mesej yang dihantar oleh Ebit dan bukan mesej lucah seperti yang Ebit hantar kepadanya.
Dalam keterangannya, pengadu memaklumkan dia hanya memberi maklum balas kepada mesej yang dihantar tapi bukan dengan balasan mesej lucah seperti yang ditulis oleh Ebit.
“Ya Rabbi terketawa pula, saya tulis macam itu sebab ayat lucah dia yang melampau.
“Untuk perkataan ‘huhu’, saya balas ‘huhu’ sebab ayat dia terlebih. Dia membayangkan seolah melakukan seks dengan saya.
“Saya balas ‘huhu’ tapi, bukan balas mahu melakukan apa dia tulis yang dia mahu lakukan perbuatan lucah pada saya,” katanya.
Pengadu turut memberitahu mahkamah nada suara ‘huhu’ bukanlah bunyi ketawa sebaliknya meluat. Biarpun ada mesej yang dihantar kedengaran dia dalam keadaan bergurau namun, bukan pada semua teks.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN