PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang mengawal perairan negara bagi menangani isu-isu berkaitan perikanan yang membelenggu golongan nelayan kecil.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, ia khususnya kerjasama dengan Jabatan Perikanan (DOF) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi memastikan langkah-langkah diambil adalah selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, langkah ini penting untuk memastikan keselamatan, keadilan dan ketelusan dalam operasi di lapangan, serta memelihara integriti negara.
“EAIC juga akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
“Ini terutamanya berhubung isu-isu yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti nelayan pantai di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) berhubung isu-isu yang mengancam alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai.
Memorandum tersebut menuntut tindakan segera untuk menghentikan penggunaan pukat tunda yang mengakibatkan kekurangan sumber perikanan dan menimbulkan konflik dengan nelayan pantai.
Jelas Ismail, Pihak JARING juga menggesa agar isu-isu pengurusan dan penguatkuasaan oleh jabatan dan agensi yang mengawal selia perairan dan perikanan negara dipertingkatkan.
Pada masa sama pihaknya mengakui kepentingan isu-isu yang dibangkitkan NGO ini dan akan meneliti setiap cadangan yang dikemukakan bagi mencari penyelesaian yang menyeluruh.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, EAIC menyiasat Jabatan Perikanan (DOF) selepas terdapat peningkatan aduan oleh pihak-pihak berkaitan terhadap jabatan berkenaan.
Antara aduan adalah penguat kuasa tidak memantau penceroboh yang memasuki zon bot nelayan atau memasuki zon berbeza dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) antara punca berlaku ketirisan hasil laut.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jaring, Mohd. Faizal Mohd. Zabri mendakwa lebih 30,000 nelayan kecil terus tertindas apabila isu dan masalah berkaitan ‘jenayah perikanan’ tidak ditangani secara serius dan berkesan terutama melibatkan kegiatan pencerobohan.
Kegiatan pencerobohan ini bukan sahaja melibatkan nelayan asing memasuki perairan negara, malah pencerobohan dalaman membabitkan bot pukat tunda mencerobohi Zon A (kawasan kurang 5 batu nautika dari pesisir pantai) yang digazetkan untuk nelayan kecil. – UTUSAN