SEPANG: Penghantaran durian dalam bentuk segar hanya bersesuaian dilaksanakan menerusi penerbangan udara berbanding penggunaan kapal laut bagi memastikan kesegarannya untuk dipasarkan di negara luar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun kos penghantaran menerusi kapal lebih murah, namun, ia berisiko tidak ada nilai di pasaran kerana tahap kualitinya menurun apatah lagi perlu menempuh perjalanan lama.
Beliau berkata, pemilihan kapal terbang kargo dilihat adalah lebih praktikal kerana boleh sampai pada hari sama sebelum dihantar ke destinasi akhir dengan pantas.
“Kita juga memilih Zhengzhou Xinzheng kerana lapangan terbang antarabangsa wilayah Henan ini adalah strategik dan hab utama logistik barangan bagi seluruh China,” jelasnya ketika hadir menyaksikan Pelancaran Pengeksportan Pertama Durian Segar ke China di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Beliau yang pernah melakukan lawatan ke Zhengzhou Xinzheng pada 8 Jun lalu berkata, lokasi lapangan terbang itu di tengah China juga sesuai untuk pasaran produk Malaysia termasuk pelbagai buah-buahan dan makanan laut segar.
Justeru, beliau membayangkan terminal tersebut dijadikan ‘kembar’ kepada KLIA dengan barangan dari China boleh dihantar terus ke seluruh jaringan pasaran di Asia Tenggara sekali gus mampu menarik minat banyak firma asing untuk beroperasi di Malaysia.
“Malaysia Airports Holdings Berhad sudah memeterai memorandum persefahaman dengan operator Zhengzhou Xinzheng untuk KLIA dijadikan terminal kargo kembar,” katanya. – UTUSAN