Dua Rumah Selangorku gagal?

Dua Rumah Selangorku gagal?

LEBIH 100 pembeli Rumah Selangorku dan rumah di bawah pemaju sama berkumpul menyatakan kekecewaan mereka dekat tapak projek tersebut berhampiran Jalan Tali Air, Morib di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Dua projek Rumah Selangorku berhampiran Kampung Tali Air, Morib di sini masih gagal disiapkan menyebabkan lebih 500 pembeli belum dapat menduduki rumah tersebut walaupun ansuran bulanannya sudah dibayar sejak lebih dua tahun lalu.

Malah, projek yang didakwa sepatutnya siap sekitar 2020 dan 2022 itu tiada tanda-tanda kerja pembinaan diteruskan selepas beberapa kali aduan dibuat kepada wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang.

Lebih teruk, hal tersebut sudah pun berada dalam pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menggagaskannya melalui pelaksanaan di bawah syarikat Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) apabila dijanjikan untuk disiapkan pada pilihan raya negeri (PRN) 2023 lalu.

Bahkan, pembeli turut dijan­jikan kediaman tersebut boleh di­duduki pada Jun lalu, namun sehingga kini laluan masuk kawasan perumahan yang terdiri daripada rumah pangsapuri dan teres itu masih berbatu kerikil dengan jarak hampir satu kilo­meter dari jalan utama.

Salah seorang pembeli Rumah Selangorku Anggun, Anwar Yahya, 36, berkata, sebelum ini pernah diajukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Timbalan Men­terinya pada tahun lalu, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, namun tindakan hanya sementara.

“Beliau datang melawat tapak, berjumpa dengan kami, kemudian diberitahu ada masalah penyambungan elektrik dan air. Dalam masa sama wakil rakyat kawasan dari kerajaan dan pembangkang juga sudah melawat.

“Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Rosnizan Ahmad juga sudah membawa dan membahaskan projek tersebut yang masih terbengkalai pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ia diibaratkan se­perti ‘mencurah air ke daun keladi’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, lebih 100 pembeli Rumah Selangorku dan dua projek perumahan di bawah pemaju sama berhimpun bagi meluahkan kekecewaan mereka terhadap kediaman yang dibeli masih terbengkalai.

Pada Julai 2023, Amirudin dilaporkan memberitahu isu perumahan terbengkalai melibatkan lebih 500 pembeli Rumah Sela­ngorku di Morib akan diselesaikan kerajaan negeri bersama KPKT.

Menurutnya, projek tersebut sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan sudah pun diangkat untuk perhatian kementerian ber­kenaan.

Tahun lalu, akhbar ini melaporkan lebih 500 pembeli kediaman projek Rumah Selangorku bagi golongan B40 di sana buntu selepas rumah dibeli mereka yang sepatutnya siap pada 2020 masih belum boleh diduduki.

Lebih malang, rata-rata pembeli dikatakan sudah pun mula membuat bayaran ansuran pinjaman sekitar RM1,000 hingga RM1,600 kepada bank sejak 2019, namun perumahan jenis apartment setinggi 17 tingkat itu belum siap dibina.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Nor Syuhada Mohamed, 37, yang membeli Rumah Seroja di bawah pemaju sama kecewa apabila menerima nasib serupa dengan pembeli Rumah Selangorku.

“Itu rumah pertama saya beli dan hendak dijadikan aset. Sekarang jadi beban sebab kena bayar RM1,104.04 setiap bulan sejak 2022, rumah sewa sekarang pun kena bayar RM700. Aset jadi beban,” tuturnya.

Seorang lagi penjawat awam, Dzarina Daud, 56, pembeli rumah di kawasan sama turut mengalami nasib sama apabila rumah yang dibeli untuk persaraannya masih belum boleh diduduki.

“Saya buat keputusan untuk beli pada 2022 sebab memang hendak bersara di Morib. Perjanjian jual beli (S&P) dan tanda tangan pada 2020, ansuran pinjaman mula bayar pada 2022 tetapi sekarang sudah 2024, saya risau bila bersara nanti masih belum boleh tinggal di situ,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN