'Dua kapal hampir langgar bot saya' - Mangsa bot rosak - Utusan Malaysia

‘Dua kapal hampir langgar bot saya’ – Mangsa bot rosak

TENGKU Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan menceritakan detik cemasnya apabila bot gentian kaca miliknya mengalami kerosakan ketika keluar memancing di perairan Dungun, Pulau Tenggol, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: “Saya terpaksa membakar sarung tangan menggunakan minyak petrol dan mancis, untuk memberi isyarat kepada dua buah kapal yang hampir merempuh bot saya, malam tadi.”

Itulah cerita Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, yang dilaporkan tidak pulang sejak petang semalam selepas keluar memancing ikan di perairan Dungun dekat Pulau Tenggol, di sini.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu ditemukan selamat nelayan tempatan pada kedudukan 27 batu nautika tenggara dari Kuala Dungun kira-kira pukul 11 pagi tadi

Menceritakan detik cemasnya, Tengku Khairul Asmawi Nizam berkata, bot gentian kaca miliknya tersadai di tengah laut kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, apabila kipas bot itu tercabut menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan terpaksa bersauh.

“Sejak pukul 7 petang semalam hingga pukul 5 pagi tadi, cuaca sangat buruk di tengah laut dengan ribut yang kuat dan laut yang bergelora.

“Saya hanya mampu berdoa agar Allah selamatkan saya sebab sepanjang masa bot saya terumbang ambing dipukul ombak dan saya juga basah kuyup ditimpa hujan,” katanya ketika ditemui di Pantai Sura, di sini, hari ini.

Tengku Khairul Asmawi Nizam berkata, dia berjaga sepanjang malam bagi mengelak dilanggar kapal berikutan dia bersauh di laluan kapal.

“Saya memang ada memasang lampu yang berkelip sebagai isyarat. Namun, kira-kira pukul 2 pagi semalam, sebuah kapal persiaran hampir merempuh saya. Jarak kapal itu terlalu dekat hanya kira-kira 400 meter dari tempat saya bersauh.

“Saya sempat mencapai sarung tangan dan mencelup sarung tangan itu ke dalam minyak petrol sebelum membakarnya untuk memberi isyarat kepada kapal itu dan mujurlah kapal itu dapat melihat isyarat yang saya beri dan kemudiannya menukar haluan,” katanya.

Tengku Khairul Asmawi Nizam berkata, dia juga hanya mengalas perut dengan sebungkus roti dan sebotol air yang dibawa ketika keluar memancing kira-kira pukul 6.15 pagi semalam.

Bagaimanapun, Tengku Khairul Asmawi Nizam yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai nelayan berkata, dia menarik nafas lega apabila melihat kelibat bot rakan-rakannya yang turut membantu pasukan penyelamat dalam usaha mencarinya, pagi tadi.

“Saya tidak akan serik untuk turun ke laut kerana ini punca rezeki saya, namun saya mungkin akan lebih berhati-hati selepas ini dengan keluar bersama rakan,” katanya yang turut membawa hasil tangkapan kira-kira 40 kilogram,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya