PETALING JAYA: Dua kanak-kanak di di Flat Desa Petaling, Kuala Lumpur yang dikatakan hilang semasa membeli pau, rupa-rupanya terperangkap dalam lif sebuah apartmen selama sembilan jam, semalam.
Ibu saudara salah seorang kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Ina berkata, anak buahnya berusia 10 tahun keluar rumah di Flat Desa Petaling untuk membeli pau dan berjumpa rakannya di Apartmen Pangsaria terletak berhampiran.
“Saya diberitahu anak abang saya keluar kira-kira pukul 2 petang, namun sehingga pukul 10 malam masih tidak pulang.
“Usaha pencarian dilakukan kami sekeluarga di kawasan sekitar, memang risau masa itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, mereka sekeluarga bersyukur selepas kanak-kanak itu dijumpai selamat kira-kira pukul 1 pagi.
“Saya diberitahu mereka terperangkap lama dalam lif. Mujur pintu terbuka sendiri, mereka keluar dalam keadaan lapar dan mengantuk. Syukur semuanya baik,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Saban Singh berkata, dua kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun dipercayai terperangkap dalam lif apartmen kira-kira sembilan jam.
Kata beliau, terdapat dua laporan mengenai kebimbangan keselamatan dua kanak-kanak itu diterima pihak polis.
“Mangsa telah ditemukan semula dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN