KLANG: Sepasang suami isteri teruja dan menganggap kelahiran anak sulung mereka pada awal pagi 31 Ogos di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini sebagai rezeki berganda.
Ainur Rahmah Ruslan, 26, berkata, bayi perempuannya, Aura Medina Muhammad Asrul seberat tiga kilogram selamat dilahirkan secara pembedahan jam 2.30 pagi tadi.
“Saya sepatutnya dijangka bersalin pada minggu depan, namun saya ditahan wad sejak empat hari lepas apabila doktor mendapati bayi dalam kandungan kurang aktif dan tak banyak bergerak. Masa itu tak terfikir anak akan lahir pada hari bersejarah negara.
“Saya ditahan supaya doktor dapat lakukan pemantauan. Sehinggalah awal pagi tadi sudah ada tanda-tanda bersalin awal pagi tadi, lahirlah anak sulung saya dan suami pada hari keramat negara,” katanya ketika ditemui di wad bersalin Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi HTAR, hari ini.
Tambah Ainur Rahmah yang mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Muhammad Asrul Sharif, 27,pada Disember lalu, dia bersyukur anaknya dilahirkan dengan selamat dan sihat.
Terdahulu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin melawat Aura Medina yang merupakan antara lima bayi dilahirkan pada hari ini di hospital berkenaan.
Dijangka seramai 30 ‘anak merdeka’ akan lahir di hospital ikonik itu sehingga pukul 11.59 malam ini.
Sementara itu, seorang lagi ibu muda, Adibah Aqilah Shafee, 25 dari Kampung Kanchong Darat Banting berkata dia bersyukur kelahiran anak sulungnya, Alma Luthfia Luqman Al Hakim seperti yang dijangka.
“Jangkaan lahir memang 31 Ogos dan saya masuk hospital jam 7 petang Jumaat sebelum bayi selamat dilahirkan jam 2 pagi secara normal.
“Tarikh lahir dia istimewa sebab hari merdeka, jadi senang untuk diingati dan saya berharap dia membesar dengan sihat dan berjaya di dunia dan di akhirat,” ujarnya. – UTUSAN