MUAR: Dua beranak ditemukan mati manakala seorang lagi tidak bermaya dipercayai kelaparan selepas beberapa hari tidak kelihatan keluar dari rumaj mereka di Taman Indah, Sungai Abong, di sini semalam.
Dua beranak yang ditemukan meninggal dunia itu dianggarkan berusia antara 40 tahun hingga 70 tahun manakala seorang lagi anak perempuan juga berusia lingkungan 40-an.
Kedua-dua anaknya itu dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Difahamkan, ketika pemeriksaan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seorang lelaki yang juga bapa kepada dua OKU itu berada di dalam bilik air, anak lelakinya di atas kerusi sofa manakala anak perempuannya dalam keadaan lemah.
Menurut jirannya, pemeriksaan oleh NGO itu selepas pihaknya mendapati keadaan rumah yang bergelap sejak beberapa hari lalu dan tindakan memanggil NGO itu kerana mereka sering tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut.
“Sejak kematian isteri, lelaki yang tidak lagi mempunyai sebarang pekerjaan itu tinggal bersama dua orang anaknya dikategorikan OKU lembam dalam rumah berkenaan.
“Apabila mereka masuk ke dalam rumah, didapati seorang lelaki di atas kerusi sofa, seorang lagi lelaki di bilik air manakala seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya sebelum menguhubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Kedua-dua mayat serta anak perempuannya kemudiannya dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk proses bedah siasat dan rawatan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – UTUSAN