Dua beradik antara tiga didakwa membunuh - Utusan Malaysia

Dua beradik antara tiga didakwa membunuh

KETIGA-tiga tertuduh dikawal anggota polis ketika tiba untuk pertuduhan membunuh dan mencederakan di Mahkamah Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua beradik lelaki antara tiga individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja cuci kereta di Bedong, kira-kira dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh, V. Mathavan, 36, adiknya, V. Navin Kumar, 27, dan seorang lagi tertuduh, R. Puvaneswaran, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama dua lagi individu yang masih bebas, didakwa membunuh S. Naarenthiran, 28, di lorong belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong Jaya, Bedong di sini antara 2.15 pagi hingga 2.30 pagi, 15 Ogos lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Nurain Safinah Minhat, manakala semua tertuduh diwakili peguam P. Vaasudevan.

Terdahulu, kesemua tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu dengan cara menggunakan parang pada 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama dua lagi individu yang masih bebas telah menyebabkan kecederaan terhadap J. Dinesh, 29, di tapak kosong kawasan Kampung Toh Pawang, Bedong, kira-kira pukul 2 pagi, 15 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Sekysen 326 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Lishantini dan kesemua mereka turut diwakili Vaasudevan. Tarikh 26 September turut ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN