PETALING JAYA: Pengacara dan doktor selebriti, Dr Say, mendedahkan pernah memberikan wang berjumlah RM8,000 sebulan kepada isterinya, Dr Azura Abbas agar permaisuri hatinya itu tidak perlu penat bekerja.
Menurut Say atau nama sebenarnya Dr Shazril Shaharuddin, tawaran itu diberikan agar isterinya yang berbadan dua ketika itu dapat memberi fokus menghabiskan pengajian sarjana.
“Isteri saya memang seorang wanita berkerjaya sejak dulu. Bila tawaran itu diberikan, isteri saya hanya tahan lima bulan sahaja. Dia perlu bekerja dan memperoleh wang sendiri.
“Kata isteri, jika tidak bekerja dan harapkan duit saya sahaja, dia rasa seperti tiada hak bersuara,” jelasnya.
Say berkata demikian ketika membincangkan pandangan suami di era milenium menerusi sebuah podcast bersama Awal Ashaari yang tular di TikTok.
Dalam pada itu, pemenang Digital Content Creator Lifestyle Tergempak 2023 ini juga berpendapat, lelaki yang gagal menyediakan keperluan yang cukup untuk keluarga adalah seorang suami yang gagal.
“Ini pandangan peribadi saya sahaja. Jika seorang lelaki tidak boleh menjadi seorang ‘provider’, dia seperti sudah gagal. Seperti ada yang kurang dan rasa tidak cukup.
“Jika saya tidak dapat beri wang, makanan dan duit untuk isteri, saya akan persoalkan di manakah kuasa saya?
“Kalau saya di rumah menjaga anak, seolah-olah tidak cukup untuk memenuhi tuntutan saya sebagai seorang bapa dan suami,” jelasnya.
Sementara itu, pengacara program My Doctors itu juga menasihati para wanita untuk mempunyai perancangan kewangan sekiranya mereka diuji dengan perceraian suatu hari nanti.
“Saya mahu galakkan wanita di luar sana untuk timba ilmu dan buat persiapan sekiranya suami meninggalkan mereka. Ini kerana secara purata, 9/10 lelaki akan curang.
“Jika terjadi sesuatu, wanita tidak rasa terkapai-kapai. Wanita kena ada pendidikan dan tahu mana perkara yang penting dalam hidup,” katanya.