Dr. Akmal Saleh, Remy Ishak antara penerima gelaran Datuk

Dr. Akmal Saleh, Remy Ishak antara penerima gelaran Datuk

REMY Ishak (kanan) berswafoto bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang Dipertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman mengetuai senarai 299 penerima bagi sesi pertama Darjah Kebesaran Negeri Melaka dengan dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah itu diberikan Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang mana istiadat pengurniaan darjah kebesaran dijalankan di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebanyak tiga sesi sehingga esok.

Bagi Darjah Seri Paduka Setia Melaka (SPSM) yang membawa gelaran Seri Setia dan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNSM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, tidak ada penerima.

Pengurniaan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira diberikan kepada lapan penerima diketuai isteri Ketua Menteri, Datin Seri Zuriyah Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Turut menerima DCSM ialah Pengarah Kewangan UMNO merangkap Pengerusi Kumpulan Ranchan Maritime, Datuk Shahrul Azuwar Abd. Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman serta suami pelakon, Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Pada sesi sebelah petang pula, seramai 10 individu menerima DCSM antaranya Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Seramai lima penerima bagi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk diketuai Ketua Pemuda UMNO yang juga ADUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Duta Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Gapar Abu Bakar.

Turut menerima DMSM ialah ADUN Gadek, Datuk VP. Shanmugam dan ADUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.

Sementara itu, pelakon, Remy Ishak atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Zalimei Ishak menerima DPSM yang membawa gelaran Datuk manakala pelakon yang memegang watak Sultan Melaka dalam Hikayat Hang Tuah, Ashraf Muslim dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

Bagi pengurniaan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada 71 penerima.

Antaranya penerimanya ialah Setiausaha MBMB, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri, Datin Seri Norhayati Musa; Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri Zainah Othman dan ADUN Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd. Kalil.

Bagi Darjah Seri Melaka (DSM), seramai 22 individu menerimanya atas perkhidmatan dan bakti terpuji kepada negeri ini.

Dalam pada itu, seramai 30 penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 38 menerima BKT, 71 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 48 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan dua penerima Pingat Khidmat Lama (PKL). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN