'Doktor' remaja pernah terima rawatan psikiatri, JKM akan bagi kaunseling

‘Doktor’ remaja pernah terima rawatan psikiatri, JKM akan bagi kaunseling

REMAJA perempuan yang disyaki menyamar sebagai doktor ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEPANG: Polis mengesahkan ‘doktor’ remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan baru-baru ini pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja itu juga didapati tidak menyusuli rawatan seterusnya menyebabkan fikiran dan emosi terganggu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh keluarga remaja itu ketika soal siasat baru-baru ini.

“Kita akan dapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) itu daripada pihak hospital. Kami juga difahamkan, remaja itu juga sudah meninggalkan alam persekolahan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, remaja itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Hussein berkata, siasatan juga mendapati, remaja itu didapati keluar masuk ke kawasan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dalam tempoh masa seminggu.

Ditanya sama ada siasatan polis turut menjurus kepada kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Hussein berkata, beliau tidak dapat komen lanjut mengenai perkara itu.

“Kita masih bincang dengan pihak hospital terutama bagi mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital itu terutama di kawasan-kawasan sensitif,” katanya.

Ditanya juga sama ada remaja itu menghidapi kecelaruan identiti, Hussein bagaimanapun tidak mengesahkan perkara itu.

“Saya bukan pakar untuk kata (sahkan) perkara itu. Jangan buat andaian sendiri. Kita serah kepada pakar untuk tahu apa masalah remaja itu sehingga bertindak demikian,” katanya.

Katanya, JKM juga akan memutuskan sama ada remaja itu akan diletakkan di bawah agensi itu atau terus berada di bawah jagaan ibunya.

Sebelum ini, remaja warga tempatan itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang kerana menceroboh dewan bedah dan menyamar jadi doktor.

Siasatan awal mendapati, suspek telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.

Polis turut merampas baju dan seluar scrub serta lanyard hak milik hospital.

Siasatan juga mendapati, keadaan tubuh badan remaja itu yang lebih besar berbanding usia sebenar memudahkan suspek melakukan penyamaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN