Dini, Janna dedah tiga jam kena ‘kacau’ di tapak perkhemahan - Utusan Malaysia

Dini, Janna dedah tiga jam kena ‘kacau’ di tapak perkhemahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Dini Schatzmann, mendedahkan pengalaman diganggu makhluk halus ketika berkelah di sebuah tapak perkhemahan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Menurut Dini, ketika itu dia bercadang melakukan kejutan sempena hari lahir isteri yang juga selebriti, Janna Nick.

“Perancangan asal mahu ke Port Dickson tapi semua tempat sudah penuh. Jadi kami ke sebuah tapak perkhemahan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Oleh sebab mahu sambut hari lahir Janna, jadi saya dan keluarga pun tidur lambat, gelak-gelak.

“Dalam pukul 12 kami bersurai ke khemah masing-masing. Saya dan Janna pun mandi dan bersiap untuk tidur,” katanya dalam temu ramah di sebuah audiosiar yang tular.

Ketika itu, Dini memasang khemah jenis ‘rooftop’ yang diletakkan di atas bumbung kereta.

Namun, semakin banyak kejadian aneh menimpa mereka pada malam tersebut.

“Semasa hendak tidur, tiba-tiba kipas mati. Sedangkan bateri kipas itu masih banyak dan selaluny boleh bertahan sampai dua hari. Kemudian saya dan Janna dengar ada bunyi tapak kaki keliling khemah kami.

“Asalnya saya ingat orang jahat nak pecah masuk. Saya bersiap ambil pisau kecil yang saya bawa. Tapi Janna pegang tangan saya dan cakap itu bukan manusia. Janna memang boleh ‘rasa’,” jelasnya.

Pelakon Kau Vs Aku itu mula membaca ayat suci ketika ‘makhluk’ tersebut mengelilingi khemah mereka.

“Kemudian saya boleh rasa seolah-olah ada yang tengah perhatikan dari tingkap khemah. Selepas itu saya boleh dengar ada bunyi menyeramkan. Kami berdua senyap dan baca apa yang boleh.

“Perkara itu berlarutan sampai tiga jam akhirnya dalam pukul empat pagi, kami balik ke rumah terus tinggalkan tapak perkhemahan itu,” katanya.

Tragedi itu meninggalkan kesan mendalam kepada Janna dan Dini. Sehingga kini, mereka tidak berani untuk berkelah kerana gusar perkata sebegitu akan berulang.

“Khemah kami biarkan sahaja tak berkemas dan minta kawan Janna di khemah yang lain minta bersihkan.

“Rupanya keesokan hari ibu Janna beritahu dia juga kena ganggu selepas kami pulang. Itulah kali pertama dan terakhir saya berkhemah,” jelasnya.

Untuk rekod, Janna Nick yang juga anak kedua daripada empat beradik dilahirkan pada 1 Jun di Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu, pada Jun 2023, Janna dan Dini selamat bergelar suami isteri dan melangsungkan majlis pernikahan secara tertutup di sebuah resort terkemuka di Langkawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya