KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, mengejutkan ramai pihak apabila bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli bertindak menceraikannya dengan talak satu pada malam tadi.
Lafaz cerai itu dibuat Rushdi menerusi satu
rakaman video dikongsi penyanyi lagu Hanya Satu dan Naluri itu di Instagram.
“Saya yang bernama Rushdi Ramli, dengan ini menceraikan dan mentalakkan isteri saya, Wan Norafiza Ariffin dengan talak satu kerana Allah,” lafaznya.
Terdahulu, spekulasi mengatakan rumah tangga penyanyi itu dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya itu goyah sudah bertebaran sejak tahun lalu, namun Nora menyangkalnya.
Nora berkata, dia masih bergelar isteri kepada Rushdi dan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.
Penyanyi kelahiran Kelantan itu mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis pada 2021.
Tidak menjelaskan secara terperinci butiran majlis perkahwinannya, Nora memaklumkan bertemu jodoh dengan sahabat baik arwah suaminya, Johan Nawawi.
Sebelum itu, Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Pada 13 Disember 2019, Nora diuji dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff berusia 20 tahun.-UTUSAN