KUALA LUMPUR: “Kalau saya ceritakan, memang mahu menitis air mata.”
Demikian luahan pelakon popular era 80-an, Dharma Harun Al Rashid terhadap pencapaian anaknya, Muhammad Al Syafiq yang meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan semester akhir Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Dharma atau nama sebenarnya, Mohamad Azman Harun Arashid berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana anak-anaknya tidak mensia-siakan peluang melanjutkan pelajaran ke akademi itu.
“Saya tidak sangka, anak-anak saya seperti ini (bijak). Anak perempuan saya yang juga pelajar peringkat sarjana muda di Aswara juga hampir mencatatkan keputusan cemerlang. Anak lelaki saya pula merancang untuk sambung pelajarannya ke peringkat sarjana muda.
“Saya biasa-biasa sahaja. Sijil Pelajaran Malaysia pun tidaklah berapa pandai sangat. Tapi saya pelik dengan mereka (anak). Mereka bukan pelajar sekolah, tetapi universiti.
“Anak-anak saya cukup jaga (pelajaran), sampaikan mereka diangkat menjadi ikon Aswara.
“Pada saya, anak aku, apalah sangat. Awalnya, saya langsung tak percaya. Tapi bila tengok sendiri persembahan (teater) yang mereka pentaskan, saya kata, betul kah ini?” Katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran filem Sheriff di ibu negara, semalam.
Syafiq, mencatatkan keputusan cemerlang, dengan memperoleh 6 A bagi semua mata pelajaran yang didudukinya pada sesi tiga, Pengajian Asasi Seni Kreatif, Aswara.
Sementara itu, Dharma yang juga pelakon filem Adik Manja, memaklumkan kesediaannya untuk memberikan ruang dan peluang kepada anak-anaknya meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Memang saya bangga. Tetapi, peninglah juga memikirkan banyak perkara, ditambah lagi dengan keadaan (kehidupan).
“Kalau ikutkan, saya mahu anak-anak saya buat semua (uruskan syarikat produksi). Tetapi, memandangkan mereka bercadang sambung pelajaran, sayalah yang kena teruskan dulu,” kongsinya.
Dalam pada itu, Dharma juga memaklumkan tidak pernah memaksa, malah memberi kebebasan buat anak-anaknya untuk memilih bidang kerjaya mereka di masa akan datang.
“Mereka yang pilih sendiri. Yang seorang mahu jadi penulis skrip, seorang lagi mahu mengarah.
“Memanglah saya penulis skrip dan pengarah Adik Manja (The Return). Tapi bidang seni, mereka yang pilih sendiri,” jelasnya.