Dekati Gen Z untuk menang PRU-16 - Tok Mat

Dekati Gen Z untuk menang PRU-16 – Tok Mat

UMNO perlu mendekati generasi Z (Gen Z) yang dilihat sebagai ‘senjata utama’ menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mendekati generasi Z (Gen Z) yang dilihat sebagai ‘senjata utama’ menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau melihat generasi tersebut boleh membawa revolusi terhadap parti itu sekali gus terus kekal dominan pada masa akan datang.

“Saya rasa, UMNO sangat memerlukan bantuan kelompok profesional seperti perunding media sosial dan pemasaran selain tiba masanya kita menggunakan Gen Z sebagai pemacu utama kempen kita.

“Inikan zaman mereka. Apa salahnya kita memberikan ruang dan peluang untuk mereka mengurus kempen kita selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Jelas Mohamad, Gen Z juga tidak mempunyai ‘ikatan sentimental’ dengan UMNO dan membesar ketika parti itu tidak lagi dominan dalam arena politik negara.

Maka sebab itu jelasnya, pendekatan UMNO pada kali ini perlu lebih santai dan tidak formal bagi membolehkan masyarakat mudah mendekati parti itu.

Katanya, jika generasi ini tidak diuruskan dengan baik, UMNO bakal berdepan laluan pilihan raya yang lebih sukar.

“Mereka tidak berparti dan hanya menilai berdasarkan apa yang mereka peroleh, baca dan tatap di pelbagai platform media sosial.

“Mereka menewaskan pelbagai dasar kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan di media sosial. Itulah realitinya, bahawa ruang demokrasi sekarang ini adalah di persada maya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan bahawa golongan belia inginkan kepastian dan keterjaminan mengenai masa depan mereka.

“Mereka inginkan gaji bermaruah dan peluang pekerjaan yang sesuai supaya kehidupan mereka tidak hanya bergantung kepada subsidi dan bantuan tunai langsung.

“Sekarang bukan lagi pengangguran yang menjadi isu, tetapi pekerjaan yang wujud tidak sepadan dengan kemahiran yang mereka miliki,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN