PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK) diminta memeriksa paip kumbahan di lokasi insiden tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis di Jalan Masjid India di sini hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kawasan kejadian tanah mendap yang berlaku kira-kira 2.30 pagi tadi itu ditutup menggunakan tali keselamatan dan penghadang air sebagai langkah keselamatan.
“Kami akan terus bekerjasama erat dengan IWK serta agensi lain bagi memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan.
“Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur ialah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kejadian tanah mendap dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pagi tadi.
Tinjauan di lokasi mendapati kawasan mendapan itu telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan menggunakan penghadang jalan dan garisan kuning.
Kejadian tanah mendap dipercayai berlaku pada 2.30 pagi ini berhampiran Pondok Polis Masjid India ekoran hujan lebat dan ribut, malam tadi.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India iaitu Vijayaletchumy, 48, hari ini memasuki hari keenam.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan IWK – UTUSAN