Dapat RM4 setiap kali hadir tuisyen

Dapat RM4 setiap kali hadir tuisyen

ANTARA pelajar yang mengikuti tuisyen percuma di lima buah sekolah menengah di Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM : PELAJAR yang menghadiri tuisyen secara percuma atau berbayar itu merupakan satu perkara biasa namun Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Tanjung Malim, Perak tampil dengan idea inovatif iaitu mereka yang mengikuti tuisyen akan mendapat RM4 setiap kali menghadiri sesi kelas.

SEORANG guru semasa sesi pembelajaran tuisyen percuma di sebuah sekolah menengah di Tanjung Malim, Perak.

 

Tuisyen itu melibatkan 300 pelajar lima buah sekolah menengah sejak April lalu iaitu merangkumi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020, SMK Khir Johari, SMK Methodist dan SMK Proton City.

Mereka merupakan pelajar yang tergolong daripada keluarga golongan B40 dan subjek dipelajari ialah Sains dan Matematik.

Tuisyen itu akan diadakan sebanyak tiga sesi sebulan bermula April hingga Oktober tahun ini.

Selain itu, setiap murid menerima bahan cetakan bagi latihan subjek Sains dan Matematik.

PELAJAR-PELAJAR sebuah sekolah menengah di Tanjung Malim, Perak bergembira kerana menerima RM4 setiap kali menghadiri tuisyen.

Menurut ADUN Behrang, Salina Samsudin, pemberian wang saku itu adalah bagi menggalakkan pelajar-pelajar itu menghadiri tuisyen tersebut.

SALINA SAMSUDIN“Saya fikir memang tidak lah sebanyak mana, namun dalam masa yang sama dapat mengurangkan beban mereka untuk membeli makanan dan minuman untuk mengisi perut.

“Selain itu, mereka juga dapat menggunakannya untuk mengisi minyak kenderaan atau pun membeli peralatan persekolahan yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, penekanan terhadap subjek Sains dan Matematik itu merupakan satu perkara penting bagi melanjutkan pengajian yang lebih tinggi pada masa depan.

Ujarnya lagi, sebagai penghargaan, guru yang mengajar juga akan menerima wang saguhati kerana memberikan komitmen mengajar pelajar-pelajar itu dengan penuh komited.

“Kita memang memberikan tumpuan kepada pelajar yang terdiri daripada golongan B40 dan miskin kerana sumber kewangan mereka yang terhad.

“Penganjuran tuisyen ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dan membantu meningkatkan prestasi akademik semasa selain mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang bapa, Mohd. Ridwan Abu Kassim, 55, berkata, tuisyen itu banyak membantu anaknya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Saya hanya bekerja sebagai seorang pekerja ladang sawit jadi, berapa banyak sahaja pendapatan bulanan yang diperoleh selain perlu menyara kehidupan isteri tidak bekerja dan empat orang anak lagi.

“Malah, anak saya mendapat wang saku RM4 cukuplah untuk duit makannya atau membeli barangan persekolahan yang lain,” katanya.

Bagi Khatijah Hadi, 50, bersyukur kerana tuisyen percuma itu dapat membantu anaknya yang akan menduduki SPM tidak lama lagi.

“Suami hanya kerja kampung dengan pendapatan tidaklah sebanyak mana iaitu sekadar cukup untuk keperluan seharian semata-mata.

“Tuisyen ini membantu anak yang lemah dalam subjek Matematik dan harap dia dapat keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak untuk mengubah nasib keluarga,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya