Da'i Syed, isteri dalam pantang menangis berpelukan

Da’i Syed, isteri dalam pantang menangis berpelukan

ISTERI Da'i Syed selepas perbicaraan suaminya di mahkamah hari ini. - NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas penceramah selebriti, Da’i Syed. 

Sewaktu hukuman dibacakan oleh Hakim Norazlin Othman, tertuduh atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh.

Lebih memilukan, isteri penceramah itu, Nurulhana Ismail, 38, yang sedang berpantang anak pertama mereka turut menangis sebaik prosiding selesai.

Pengacara itu kemudian dilihat cuba menenangkan suaminya yang kelihatan sukar menerima keputusan berkenaan.

Sepanjang prosiding di akhir kes pembelaan itu, Syed Shah Iqmal yang berkemeja cerah dan berkot kelihatan sugul dengan hanya menundukkan wajahnya.

Ahli keluarga turut membawa bayi perempuan mereka yang berusia 16 hari untuk menemui penceramah itu sebelum dibawa ke Penjara Kajang. 

Mahkamah memerintahkan Syed Shah Iqmal dibawa terus ke penjara selepas menolak penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Pasangan selebriti itu menyambut kelahiran anak sulung mereka pada 14 Ogos lalu selepas mendirikan rumahtangga pada 3 Disember 2022 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Norazlin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata.

Mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda.

Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini, melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN