Cuti bersalin 'dipotong' - Itu memo lama, kes selesai - Dzulkefly

Cuti bersalin ‘dipotong’: Itu memo lama, kes selesai – Dzulkefly

DZULKEFLY Ahmad ketika gimik perasmian Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes cuti bersalin melibatkan sekumpulan doktor wanita yang dihadkan sebenarnya sudah pun ditangani sebelum isu berkenaan tular diperkatakan warganet.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut menegaskan bahawa memo dalaman ‘bocor’ tersebut hanya berkait isu sumber manusia.

“Isu ini telah lama selesai dan kita sudah menempatkan sementara pegawai perubatan dari beberapa klinik sekitar bagi menampung ketiadaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pengukuhan 1,000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan dan sesi dialog libat urus di sini hari hari.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal dengan tindakan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengehadkan tempoh cuti bersalin yang mendakwa pegawai terbabit hanya diberikan selama 60 hari pada Jun dan Julai lalu berbanding 90 hari yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, memorandum yang tular itu cuma dalam proses bagi mencari penyelesaian oleh pegawai kesihatan daerah untuk menangani isu staf bersalin.

“Kita mengakui sentiasa berdepan dengan cabaran (kekurangan petugas) yang bermusim namun kementerian tetap tunjuk empati kepada kakitangan wanita terbabit,” tambahnya.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa semua petugas yang bersalin berhak menikmati cuti bergaji selama 90 hari manakala kes terjadi baru-baru ini disifatkan sebagai terpencil.

Beliau merujuk insiden berkenaan apabila pihak Cuepacs mendakwa kononnya ada tujuh doktor wanita bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan di sekitar Hulu Langat.

Apa yang penting ujarnya, pejabat kesihatan daerah perlu bersedia merancang lebih awal untuk memobilisasikan pegawai perubatan dari lokasi berhampiran sepanjang tempoh itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN