Cleopatra tidak pernah bernikah dengan Mohd. Bakri

Cleopatra tidak pernah bernikah dengan Mohd. Bakri

Mohd. Bakri Mohd. Zinin (dua dari kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, semalam selepas keputusan pengesahan perkahwinan dengan Cleopatra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan pempengaruh me­dia sosial Nur Fathiah Syaz­wana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra tidak pernah bernikah dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat berpuas hati bahawa pernikahan di antara Nur Fathiah dan Mohd. Bakri, tidak pernah wujud.

Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Nur Fathiah, 30, ketika memaklumkan perkara itu berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas menilai afidavit-afidavit yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata, oleh kerana anak guamnya selaku pemohon sementara Mohd Bakri (responden) mengesahkan mereka tidak pernah berkahwin, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk membuktikan kesahihan sijil nikah dari Thailand itu.

“Hakim syarie tidak menjurus kepada perkara berkenaan (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan lanjut.

“Mahkamah hanya fokus sama ada pernikahan ini wujud atau tidak,” katanya yang turut hadir bersama seorang lagi peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Sementara itu peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden ketika ditemui selepas prosiding turut mengesahkan perkara sama iaitu pernikahan tersebut tidak wujud.

“Oleh kerana mahkamah mendapati pernikahan itu tidak wujud, jadi hakim tidak perlu menentukan sama ada pernikahan itu sah ataupun tidak.

“Berdasarkan bidang kuasa perundangan, sekiranya tidak wujud pernikahan, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan (Nur Fathiah). Hakim tidak perlu mengesahkan pernikahan yang tidak pernah berlaku,” kata Fakhrul Azman.

CLEOPATRA

Nur Fathiah memohon pengesahan mahkamah bahawa perkahwinan beliau dengan Mohd. Bakri tidak pernah berlaku.

Pempengaruh itu yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Batu sebelum ini terkejut selepas me­nerima sijil nikah tersebut sedangkan tidak pernah ke Thailand.

Sijil pernikahan dari negara jiran yang diterimanya kemudian dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang kemudian disahkan palsu.

Dalam pada itu, Nur Fa­thiah ketika ditemui bersyukur de­ngan keputusan mahkamah itu sekaligus menjernihkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd. Bakri.

“Alhamdulillah dan untuk peringkat seterusnya saya akan membuat laporan polis dan berharap pihak berkaitan akan menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu,” katanya.

Sekitar Oktober 2023, media melaporkan bahawa Nur Fa­thiah bukan sahaja menyangkal status perkahwinan dengan Mohd. Bakri, malah menafikan bekas pegawai kanan polis itu pengerusi dalam salah sebuah syarikatnya.

Status kedua-dua individu itu menjadi persoalan apabila pempengaruh tersebut me­muat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) ketika mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN