PUTRAJAYA: Kesemua 14 agensi mufti di negara ini disarankan agar dapat menjalinkan kerjasama penyelidikan fatwa kontemporari dengan pihak akademik universiti tempatan.
Saranan tersebut disuarakan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhammad Razak Idris yang mahu institusi fatwa mencontohi Mesir dan dapat dirintis Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dengan kolaborasi para penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia.
Idea itu ujarnya, malahan dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah pada Konvensyen Madani Pengurusan Kefatwaan Kontemporari di sini.
“Kita boleh lihat sendiri Mesir menerusi Dar al-Ifta yang aktif bekerjasama dengan pihak Universiti Al-Azhar dalam penerokaan fatwa dan meliputi pelbagai isu semasa,” jelasnya mewakili Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menangguhkan Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Ketiga di sini hari ini.
Terdahulu, beliau juga hadir mengikuti slot Bicara Mufti yang bertajuk Cabaran Semasa Memperkasakan Institusi Mufti dan Kefatwaan di Malaysia seterusnya melancarkan buku khas yang bertajuk Lentera Keemasan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 JMWP.
Pada masa sama ujar beliau, langkah kerjasama sedemikian dapat mengangkat proses transformasi pengupayaan penyelidikan fatwa kontemporari seiring perubahan semasa terutama persoalan hukum agama dalam konteks terkini.
Selain itu, beliau mahu agensi mufti mengeksploitasi penggunaan teknologi digital dalam penyebaran maklumat berkaitan fatwa kepada masyarakat Islam terutama generasi muda kerana masih ada umat Islam tidak mendapat informasi tepat mengenai sesuatu hukum kontemporari. – UTUSAN