Bunuh ibu, bapa dan anak saudara: Lelaki didakwa

Bunuh ibu, bapa dan anak saudara: Lelaki didakwa

AZMAN diiringi pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) selepas didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Muar, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, 9 Ogos lalu.

Tertuduh, Azman Mohamed Noh, 48, hanya menyatakan faham mengenai pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; Ara Ab. Hamit, 76 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara pukul 1  sehingga 3 pagi di rumah alamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos lalu.

Sabit kesalahan tertuduh hendaklah dihukum mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki yang memohon tarikh sebutan semula dalam tempoh dua bulan bagi serahan laporan forensik serta kimia susulan pertuduhan melibatkan tiga mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 Oktober untuk sebutan semula bagi serahan dokumen. 

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, tertuduh juga didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Norazmina Mohd. Razi,14, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dah hendaklah dikenakan denda atau sebat. 

Azman membuat pengakuan salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir kemudian memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Nariman kemudian menetapkan 29 September depan bagi penetapan hukuman.

Akhbar sebelum ini melaporkan, suspek direman selama tujuh hari sejak Rabu lalu selepas lima hari melarikan diri dan dicekup ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Azman menjadi buruan polis selepas disyaki membunuh ibu bapa, serta anak saudaranya berusia 11 tahun sebelum bertindak membakar rumah pusaka didiami mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, warga emas itu ditemui rentung 80 peratus di dalam sebuah bilik. Kanak-kanak itu pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN