SHAH ALAM: Polis menafikan kejadian kanak-kanak yang dikatakan dibawa lari oleh dua lelaki dengan menaiki kenderaan berwarna gelap sebagai insiden culik seperti mana yang tular dalam media sosial, hari ini.
Sebaliknya, kanak-kanak lelaki yang bersekolah darjah 6 itu melarikan diri akibat tertekan kerana kerap dimarahi oleh ibunya apabila membuat kesalahan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian berlaku pada malam semalam selepas kanak-kanak itu mengikuti kelas Al-Quran di surau berdekatan rumahnya di Setia Alam sekitar pukul 8 hingga 9 malam.
Menurutnya, selepas selesai sesi tersebut, kanak-kanak terbabit dikatakan tidak terus pulang kerumah, sebaliknya berjalan kaki seorang diri menuju ke kawasan Setia City Mall dengan niat hendak lari rumah.
“Kanak-kanak itu kemudian diselamatkan oleh satu pasangan Melayu yang kebetulan melalui jalan tersebut. Sebelum dihantar pulang, dia dibawa ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan terlebih dahulu disebabkan lapar.
“Selesai membeli makanan, kanak-kanak itu meminta kebenaran untuk ke tandas, namun terus menelefon bapanya. Dia terpaksa mereka-reka cerita kerana takut dimarahi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati tiada kejadian culik berlaku seperti mana diceritakan oleh kanak-kanak berkenaan.
Sebaliknya, dia kelihatan sedang membeli makanan bersama seorang lelaki yang membantunya pada masa tersebut.
“Saksi itu dikenalpasti dan sudah dipanggil untuk dirakam percakapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramsay memaklumkan, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA). Polis ingin menegaskan kepada mana-mana individu yang memberikan apa-apa maklumat palsu secara lisan atau bertulis kepada penjawat awam yang menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang sehingga mendatangkan bencana atau kegusaran kepada mana-mana orang, boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Terdahulu, tular hantaran daripada seorang wanita mendakwa anaknya diculik dua lelaki warga Bangladesh apabila selesai menghadiri kelas mengaji dekat surau di kawasan rumahnya.
Wanita itu memberitahu, anaknya itu ditemui dekat sebuah stesen minyak Petron dalam keadaan menangis kerana ketakutan.
Malah, kanak-kanak itu dipercayai mengatakan dua lelaki berkenaan menutup mulut dan tangannya dicengkam dengan kuat, namun berjaya melarikan diri ketika kereta dinaikinya berhenti pada lampu isyarat merah dekat persimpangan jalan.
“AXXX tendang kepala penculik tu.. penculik tu jatuh kene tingkap dan Adam tendang lagi kat kaki penculik, terus keluar dari kereta. Kereta tak berkunci, AXXX terus lintas jalan ikut jalan besar.. AXXX kata masa tu mmg tak ada kereta lain,” antara mesej tular tersebut. – UTUSAN