KUALA SELANGOR: Antara aktiviti kemasyarakatan popular yang dilakukan dalam bulan Muharam adalah memasak bubur asyura.
Untuk itu, Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini mengambil inisiatif mengadakan majlis memasak bubur asyura di masjid itu pagi ini.
Program yang bermula pukul 8.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 50 orang termasuk golongan wanita mengambil bahagian.
Nazir MAN. Hamzah Mohd. Amin berkata, tahun ini masjid menyediakan empat kawah bubur asyura iaitu dua kawah resipi utara dan dua kawah lagi mengikut resipi pantai timur.
Katanya, program yang sama turut diadakan tahun lepas dan mendapat sambutan daripada anak-anak kariah yang mengambil bubur masing-masing selepas ia siap dimasak usai solat fardu asar.
“Tahun ini kita memperuntukkan RM2,000 untuk program ini dengan menggunakan 20 kilogram beras selain bahan-bahan utama lain seperti daging dan santan.
“Insya-Allah bubur ini akan kita edarkan kepada anak-anak kariah selepas asar nanti,” katanya yang turut serta mengacau bubur asyura.
Program itu juga adalah antara inisiatif Ahli Jawatankuasa MAN untuk mendekatkan masyarakat dengan aktiviti gotong-royong selain daripada program kuliah agama dan sarapan pagi yang dijadual sebulan sekali.
MAN yang dibina pada 2003 masih dalam usaha mengumpul dana untuk Tabung Dana Wakaf Pembinaan masjid baru bernilai RM7.9 juta yang dilancarkan pada 27 Mac 2022.
Dana yang terkumpul setakat ini adalah kira-kira RM1.1 juta dan masih belum mencukupi untuk dilaksanakan pembinaan tersebut.
Orang ramai boleh membantu dengan menyumbang ke akaun Bank Islam nombor 140 140 10111 399 atas nama Masjid An-Nur. – UTUSAN