KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat menggunakan jengkaut bagi mencari mangsa yang terjatuh ke dalam lubang akibat berlaku mendapan tanah di Masjid India di ibu negara selepas carian secara manual gagal menemui mangsa.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digunakan bagi menggerakkan kerja pencarian dan menyelamat mangsa.
“Kami juga perlu pertimbangkan nyawa dan keselamatan anggota bomba yang melakukan kerja menyelamat.
“Buat masa ini keputusan untuk menutup sepenuhnya kawasan kejadian belum dilakukan dan merasakan masih lagi selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Sementara itu, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, Pondok Polis Masjid India menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 8.30 pagi.
“Difahamkan mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion menuju ke Lebuh Ampang.
“Mangsa kemudian duduk di sebongkah kerusi konkrit sebelum terjunam ke dalam tanah dan kemudian ditimpa binaan konkrit tersebut,” katanya.
Sulizmie berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.
“Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan,” katanya.
Jelas beliau, seramai 35 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (5) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (4).
“Pihak DBKL dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian,” katanya.- UTUSAN