REMBAU: Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya berasa selesa bagi memasuki Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan pada PRK Nenggiri baru-baru ini tidak boleh terbawa-bawa sehingga ke PRK Mahkota kerana situasinya adalah berbeza sama ada latar belakang kawasan mahupun penduduk.
“Kita jangan terbawa-bawa dengan berasa kita sudah menang lebih 3,000 undi di Nenggiri dan kita rasakan bahawa Mahkota ini pun kita boleh menang dengan selesa.
“Lain padang lain belalang, lain permainannya di negeri itu, kawasan (DUN Nenggiri) kampung betul-betul, kawasan luar bandar dan penduduknya hampir 99 peratus adalah penduduknya orang Melayu.
“Di Mahkota ini dia merupakan kawasan perbandaran yang mana penduduknya Melayu 57 peratus, Cina 34 peratus dan juga India tujuh peratus. Jadi ini merupakan kawasan pengundi yang berbilang kaum.
“Jadi, peranan BN itu penting dan kami mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan nanti untuk berkempen,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih di Nerasau, Kota di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu menambah, pendekatan berkempen di DUN Mahkota juga harus dilakukan berbeza, kerana pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah lebih 50 peratus dan golongan tersebut banyak terdedah dengan media sosial.
“Pengundi muda ini selalunya banyak dipengaruhi oleh media sosial, maka sudah pasti BN dan juga jentera daripada Kerajaan Perpaduan, perlu menguatkan kempen dalam gerak kerja di media sosial,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan calon yang bakal mewakili BN, beliau memaklumkan, UMNO Bahagian Kluang dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor telah diminta untuk menyenarai pendek nama calon yang berkaliber untuk dinilai UMNO di peringkat Ibu Pejabat. – UTUSAN