‘Bilik darjah’ pusat latihan Semsira lahirkan jaguh angkat berat, pecah rekod kebangsaan - Utusan Malaysia

‘Bilik darjah’ pusat latihan Semsira lahirkan jaguh angkat berat, pecah rekod kebangsaan

MOHD. Hanie Musa,31, (kanan) memberi kata-kata semangat kepada anak-anak didiknya termasuk Muhammad Hafizuddin Roslin,20, yang mencetuskan sensasi memecahkan lapan kali rekod kebangsaan sebelum menjalani latihan di pusat latihan angkat berat yang hanya di dalam sebuah bilik darjah di SMK Syed Sirajuddin, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Nama Muhammad Hafizuddin Roslin,20, mencetuskan sensasi apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak baru-baru ini.

Secara tidak rasmi juga, angkatan keseluruhan badang Perlis yang berasal dari Kampung Belukar, Abi iaitu 332 kilogram itu turut berjaya memecahkan rekod Komanwel 2022, Chris Murray dari England dengan angkatan keseluruhan 325 kilogram.

Namun disebalik itu, Muhammad Hafizuddin bersama pasukan angkat berat lelaki selama ini hanya berlatih dalam keadaan serba kekurangan di pusat latihan di sebuah bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di sini, namun mampu mencipta kejayaan luar biasa tersebut.

Selain Muhammad Hafizuddin, pasukan angkat berat lelaki yang diketuai jurulatihnya, Mohd. Hanie Musa,31, juga cemerlang apabila berjaya merangkul dua lagi pingat emas sekali gus membantu pasukan angkat berat Perlis itu muncul juara keseluruhan angkat berat.

Anak didik Mohd. Hanie, Mohammad Azri Irfan Azhar,19, berjaya mempertahankan emas yang dimenangi pada 2022 menerusi kategori 55 kilogram dan Muhammad Aimran Syahir Roslin,19, pula kategori 67 kilogram.

Meskipun kehidupan serba kekurangan dengan ada dalam kalangan atlet bekerja di kedai makan namun semangat dan kegigihan mereka berjaya mencapai kejayaan sekali gus mengharumkan nama negeri ini sehingga membuka mata ramai, Perlis kini mula menjadi tumpuan dalam sukan berkenaan.

Mohd. Hanie berkata, kesungguhan dan kegigihan anak didiknya berlatih selama ini berjaya membuahkan pencapaian yang cemerlang dalam Sukma Sarawak termasuk kejayaan sensasi Muhammad Hafizuddin memecahkan lapan kali rekod kebangsaan.

Dia yang mengetuai pusat latihan angkat berat di SMK Syed Sirajuddin sejak 2016 itu berkata, meskipun menjalani latihan dalam keadaan serba kekurangan hanya di dalam sebuah bilik darjah di sekolah, namun mereka telah menunjukkan kegigihan dan semangat luar biasa untuk mengecapi kejayaan.

Ujarnya, pada 2019, anak buahnya yang merupakan atlet wanita berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 59 kilogram dan sejak daripada itu dia juga berazam untuk melihat atlet lelaki pula mencipta kejayaan.

Pada masa ini, katanya, dia melatih 15 atlet di pusat latihan berkenaan dengan penglibatan mereka seawal usia 13 tahun lagi.

“Saya cukup terharu melihat kejayaan mereka ini dan lebih membanggakan lagi kesemua atlet ini adalah anak jati Perlis yang datang dari kampung-kampung. Meskipun kebanyakkan mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan namun mereka ini mempunyai semangat dan kegigihan yang cukup luar biasa.

“Antaranya, Mohammad Azri dan Muhammad Aimran yang turut meraih emas menewaskan atlet pelapis kebangsaan dalam Sukma baru-baru ini, mereka hanya kerja di kedai makan namun dengan kegigihan serta kesungguhan, mereka berjaya mengecapi kejayaan sekali gus mengharumkan nama negeri ini.

“Muhammad Hafizuddin pula, sangat gigih berlatih serta cukup berdisiplin sehingga kadang-kala, dalam keadaan sakit sekali pun masih turun menjalani latihan yang akhirnya ‘dibayar’ balik dengan memecahkan lapan kali rekod kebangsaan,” katanya.

Tambah Mohd Hanie, Perlis mempunyai potensi besar dalam sukan angkat berat dan kebanyakkan remaja di negeri ini sudah mula berminat untuk menyertai sukan tersebut.

“Harapan saya, agar suatu hari nanti, atlet angkat Perlis ini akan berjaya di pentas dunia seperti sukan SEA, Komanwel atau Olimpik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN