Bicara rasuah anak Hamzah Zainuddin 24 Mac 2025

Bicara rasuah anak Hamzah Zainuddin 24 Mac 2025

KUALA LUMPUR 29 OGOS 2024. Muhammad Faisal Hamzah (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen 8 Kuala Lumpur bagi sebutan kes menerima rasuah bernilai RM100,000. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 24 Mac 2025 bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam mendapatkan tender sebuah syarikat, enam tahun lalu. 

Hakim Rosli Ahmad menetapkan demikian setelah kedua-dua pihak mengesahkan segala urusan berkaitan kes itu dan serahan dokumen telah selesai pada pengurusan kes hari ini.

Terdahulu, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Zaudi Nordin mencadangkan kepada mahkamah agar menetapkan tarikh dua minggu sebelum perbicaraan untuk menyerahkan penyataan saksi. 

“Seramai 21 orang saksi akan dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan,” katanya. 

Walau bagaimanapun, peguam bela, Chetan Jethwani yang mewakili Muhammad Faisal,  memohon tarikh yang lebih munasabah atas alasan pihaknya perlu meneliti kenyataan bagi 21 orang saksi itu sebelum perbicaraan bermula. 

Rosli menetapkan 21 Februari depan untuk penyerahan pernyataan saksi dan pengurusan kes terakhir. 

Tarikh-tarikh yang ditetapkan untuk perbicaraan ialah 24 hingga 28 Mac, 14 hingga 18 April dan 21 hingga 25 April 2025.

Muhammad Faisal, 40, sebelum ini didakwa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM100,000 daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan Syarikat Per My Solutions menjadi perunding pemasaran disebabkan pengaruh tertuduh yang dimiliki.

Seterusnya syarikat-syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu Berhad dianugerahkan Tender No. SSM 1/2017 “Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure” bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas di sini pada Mac 2018.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN