KUALA LUMPUR: Pelakon, Niezam Zaidi, 31, enggan ambil pusing terhadap kritikan atau komen negatif orang mengenai tahap keberkesanan lakonannya.
Kata Niezam, perkara itu disebabkan hasil lakonan yang diberikannya bukan untuk menyenangkan hati orang lain, sebaliknya untuk kepuasan diri sendiri.
“Ketika berlakon dalam filem Budak Pailang, saya masih ada sikap mahu buat (berlakon) supaya orang lain suka.
“Bila tak dapat reaksi atau maklum balas yang saya inginkan, saya jadi tak gembira.
“Sekarang, baru saya sedar kesempurnaan itu tak wujud. Jadi saya buat demi kepuasan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Niezam tidak menolak tentang kepentingan belajar daripada pelakon lebih berpengalaman untuk menambah ilmu lakonan.
“Kalau dulu, saya tak tahu tentang kewujudan teknik lain bagi mendalami karakter yang dilakonkan. Jadi saya di set penggambaran lebih banyak menggunakan teknik yang sama, iaitu bersendirian untuk mengelakkan gangguan.
“Tapi selepas menerima sedikit ilmu, barulah saya tahu pelbagai teknik. Sekarang kalau di set penggambaran, saya boleh bergaul seperti biasa, tetapi tetap menjadi karakter yang saya lakonkan, bukan Niezam Zaidi,” katanya.