Belum ada kes mpox, situasi masih terkawal

Belum ada kes mpox, situasi masih terkawal

DZULKEFLY Ahmad ketika mengadakan lawatan di bilik rawatan kesihatan bagi kesiapsiagaan susulan wabak mpox di KLIA Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa belum ada lagi kes cacar monyet atau mpox di seluruh negara setakat hari ini.

Malahan ujar beliau, hanya sejumlah 34 kes disyaki yang telah dilapor di semua fasiliti kesihatan sehingga kini dengan kesemuanya setelah diperiksa disahkan sebagai negatif.

“Setakat pukul 5 petang tadi, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah buat saringan ke atas 3.26 juta pengembara sejak 16 Ogos lalu,” jelasnya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemeriksaan dan kuarantin penyakit berjangkit kementerian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan petugasnya bersedia 24 jam di kedua-dua terminal KLIA yang merupakan pintu masuk utama negara.

“Ketika ini kami ada 30 petugas bagi setiap syif lapan jam dengan tiga syif setiap hari yang beroperasi namun jika ada keperluan, pihak KKM bersedia menambah mereka,” katanya.

Bahkan tambah beliau, situasi di semua pintu masuk antarabangsa negara ini juga dalam kawalan berwaspada sejak isu penularan mpox ke seluruh dunia dilaporkan awal bulan ini.

Ditanya mengenai perkembangan melibatkan 34 kes yang disyaki, beliau memaklumkan bahawa kesemua suspek itu merupakan warga Malaysia kecuali seorang rakyat Thailand.

Ujarnya, pihak KKM juga melaksanakan inisiatif penambahbaikan dengan kerjasama semua syarikat penerbangan termasuk operator udara dari luar negara.

“Ramai tidak tahu, mereka yang dikesan ada tanda simptom mpox, segera dimaklumkan oleh juruterbang kepada pihak KKM ketika pesawat itu belum pun lagi mendarat,” katanya.

Langkah mitigasi itu kata Dzulkefly, membolehkan petugas di lapangan terbang membuat persiapan awal dengan suspek tersebut dapat segera diasingkan terus di bilik kuarantin.

Pada masa sama, mereka dikenal pasti memiliki gejala mpox seperti demam panas juga dikeluarkan apabila dikesan mesin pengimbas suhu yang dipasang di kawasan ketibaan.

Penumpang terbabit katanya, akan diperiksa lebih teliti termasuk sama ada mempunyai ruam seperti lepuh di badan dan kelenjar leher bengkak yang lazim dihidapi pesakit mpox.

“Saya memberi jaminan bahawa kesemua pengembara khususnya dari negara-negara yang diketahui sebagai berisiko tinggi akan disaring amat ketat sejurus ketibaan,” tegasnya.

Penyakit mpox mula dikesan pada 1970 di Congo sebelum menjadi wabak global dari 2022 sehingga tahun lepas dan kembali menular aktif tahun ini bermula di benua Afrika.

TAMAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya