PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberikan tumpuan khusus dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 oktober ini.
Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah isu yang menjadi kebimbangan rakyat walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan demi memperbetulkan semula ekonomi negara ke landasan betul.
Beliau berkata, dalam hal itu, kerajaan akan mencari punca-punca kepada peningkatan harga barang di samping menangani masalah kartel dan monopoli pihak-pihak tertentu yang menguasai pasaran barangan keperluan asas termasuk menentukan kos-kos input pertanian.
“Satu hal yang sangat memprihatinkan adalah soal kebimbangan rakyat kerana masih berdepan dengan harga, kos sara hidup yang meningkat, saya tidak nafikan.
“Walaupun saya boleh sebut gula, minyak, tepung, minyak masak kita paling murah tapi bagi rakyat Malaysia masih merasa beban…dia (rakyat) tidak banding Thailand, Singapura, Indonesia.
“Jadi sebab itu dalam Belanjawan ini kita juga harus tangani masalah kartel, monopoli, apa punca harga barang (naik), kadang-kadang dari segi baja, benih, semua ini harus kita tangani,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan selaku perancang utama Belanjawan Negara harus memikirkan isu-isu yang merentasi kementerian lain agar intipati yang digariskan bersifat menyeluruh dan menyentuh semua aspek permasalahan rakyat.
Katanya, tindakan itu tentunya lebih mudah berdasarkan pengalaman warga Kementerian sendiri sama ada dalam penguatkuasaan atau perancang dasar akan lebih faham terutama dalam memikirkan kaedah dan jalan terbaik untuk mengurangkan kos.
“Kos ini meningkat di antara lainnya adalah masalah tiris, rasuah, seludup dan keuntungan berlebihan melalui kartel.
“Apakah boleh kita pada peringkat ini dengan ekonomi kukuh dan ampuh mula menerobos ke bidang yang kita anggap penting bagi negara kita,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan kira detik Mesyuarat ASEAN 2025 Trek Kewangan.
MOF sebagai peneraju Trek Kewangan ASEAN akan mempengerusikan empat mesyuarat berkaitan.
Pada tahun depan, Malaysia sekali lagi akan menjadi Pengerusi ASEAN selepas tahun 2005 dan 2015. – UTUSAN