Belanjawan 2025: KDN fokus aspek kebajikan anggota, keupayaan aset

Belanjawan 2025: KDN fokus aspek kebajikan anggota, keupayaan aset

SAIFUDDIN Nasution Ismail bergambar selepas sesi libat urus Belanjawan 2025 bersama pemegang taruh KDN di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mempertingkat keupayaan aset dan aspek kebajikan anggota pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal menjadi antara tumpuan dalam Belanjawan 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan itu adalah seiring dengan tugas hakiki KDN dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“Aspek kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas dan saya akan teruskan lagi (pada tahun ini).

“Saya akan kekalkan momentum itu dengan memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF supaya momentum itu dapat dikekalkan. Aspek ini penting sebab itu akan meningkatkan moral serta motivasi anggota-anggota keselamatan dibawah KDN,” katanya selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama Pemegang Taruh KDN di sini hari ini.

Terdahulu menerusi sesi libat urus itu, pelbagai input dan cadangan daripada pemegang taruh KDN berkaitan aspek keselamatan melibatkan wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil dikumpulkan bagi memastikan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum.

Menurut Saifuddin, pada tahun lalu, pihaknya berjaya memulihkan hampir 151 pos hadapan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta sejumlah kuarters dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta.

Selain itu, katanya, KDN juga berjaya menyelesaikan isu perumahan anggota Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam pada itu, beliau berkata, antara aspek lain yang turut menjadi tumpuan adalah mempertingkatkan keupayaan aset agensi-agensi penguatkuasaan di bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terutamanya sekarang ada agensi baharu iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), sebagai agensi baharu tentunya kami kena merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang sudah digerakkan pada Mei lalu sehingga sekarang.

“Kami akan memberikan tumpuan khusus memperkuatkan MCBA supaya tahun pertama itu adalah tahun yang akan menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan dan keupayaan aset kerana ada beberapa pintu masuk yang menjadi projek perintis selain daripada Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah,” ujarnya.

Saifuddin turut memaklumkan, beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Sungai Golok, Narathiwat, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan esok.

“Rantau Panjang (dan) Golok, juga antara pintu masuk yang termasuk dalam projek perintis MCBA yang akan dibincangkan dalam pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Thailand,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN