Belanda antara rakan dagangan terbesar Malaysia - Utusan Malaysia

Belanda antara rakan dagangan terbesar Malaysia

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan menyerahkan sumbangan Bantuan Ibnu Sabil MAIPs kepada wakil Kedutaan Besar Malaysia di The Hague, Belanda, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Belanda antara negara kesatuan yang merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi Malaysia pada tahun 2023, dengan jumlah perdagangan bernilai RM40.95 bilion.

Selain itu, Malaysia dan Belanda turut berpotensi untuk bekerjasama dalam sektor industri seperti kelapa sawit, digital, kecerdasan buatan, teknologi semikonduktor dan beberapa lagi.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala dengan negara Belanda sejak tahun 1957 dan sehingga hari ini pertalian itu masih kekal baik serta kukuh.

“Pada 31 Oktober sehingga 1 November 2023, Mantan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte juga mengadakan lawatan dua hala ke Malaysia di mana beliau turut bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.

Baginda berkenan menyampurnakn penyerahan sumbangan Bantuan Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Kedutaan Besar Malaysia di The Hague, Belanda, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan selepas baginda berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol, Amsterdam.

Menerusi simbolik penyerahan itu, pihak kedutaan terlibat telah menerima sumbangan berjumlah RM2,500 daripada MAIPs.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dengan disambut pegawai-pegawai pihak kedutaan Malaysia di The Hague iaitu Wan Maisarah Mohamed Idrus dan Sarizam Abu Bakar.

Untuk rekod, Tabung Ibnu Sabil MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan bagi membantu rakyat Malaysia yang berhadapan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri, terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan sumbangan ini dan pengantarabangsaannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN