KUALA NERUS: Seorang bekas tentera laut meraih durian runtuh apabila berjaya membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta melalui cabutan Sijil Simpanan Islamik (SSi) Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) yang diumumkan, malam tadi.
Sajihan M.C. Mohamed, 63, dari Sri Manjung, Perak merupakan jutawan ketiga bagi cabutan SSi Jutawan Hebat sejak diperkenalkan Bank Muamalat pada Ogos 2023.
Menurut Sajihan, dia terkejut apabila diumumkan sebagai jutawan selepas memenangi hadiah cabutan tersebut kerana baru mula menyimpan dalam SSi pada 1 Mac lalu.
Bagaimanapun katanya, dia membuka akaun dan menyimpan duit dalam Bank Muamalat lebih 20 tahun lalu.
“Saya amat teruja, tidak sangka dapat (hadiah cabutan SSi) RM1 juta, memang terkejut apabila diberitahu mengenai jumlah hadiah yang dimenang itu. Syukur kepada ilahi, saya dapat hadiah RM1 juta. Alhamdulillah, terima kasih Bank Muamalat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah SSi Edisi Gemilang 25 Tahun pada Karnival Jom Heboh Terengganu di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, malam tadi.
Sajihan yang mempunyai lima orang anak berkata, dia menggalakkan orang ramai menyimpan dalam SSi kerana cabutan diadakan lagi pada Disember depan.
“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, Insya-Allah simpan RM1,000 (dalam SSi) berpeluang dapat hadiah RM1 juta seperti saya,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin memberitahu, jumlah penyimpan SSi Edisi Gemilang 25 Tahun telah mencapai seramai 32,126 pelanggan sejak diperkenalkan setahun lalu.
Katanya, peningkatan jumlah penyimpan tersebut menunjukkan kesedaran orang ramai untuk menabung semakin tinggi.
“Kami sentiasa prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan untuk menyimpan wang ketika keadaan ekonomi semasa yang begitu mencabar.
“Atas faktor berikut, Bank Muamalat mengambil keputusan menambah hadiah keseluruhan SSi daripada RM3 juta tahun lalu kepada RM5 juta tahun ini untuk menggalakkan pelanggan-pelanggan terus menyimpan,” ujarnya. – UTUSAN