IPOH: Bekas kerani sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu wang berjumlah RM331,251.75 bagi tawaran pajakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri, dua tahun lalu.
Tertuduh, M. Gabriel Youshua, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dan dengan curangnya memperdaya K. Suppan bagi membuat bayaran menerusi dua keping cek masing-masing berjumlah RM110,417.25 dan RM220,834.50 dengan menawarkan pajakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di mana mangsa tidak akan menyerahkan pembayaran sekiranya tidak diperdaya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat peguam di Greentown Square, Jalan Datuk Seri Ahmad Said di Ipoh pada pukul 10 pagi, 14 April 2022.
Pendakwaan terhadap warga emas itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh namun peguam, K. Nahtan yang mewakili lelaki itu memohon agar jaminan diberikan dalam lingkungan RM5,000.
Menurut Nahtan, anak guamnya yang tidak bekerja dan kini merupakan orang kurang upaya (OKU), bersedia dengan syarat tambahan sekiranya ditetapkan mahkamah.
Siti Nora kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 11 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN