Bayi merdeka: Momen manis bagi dua ibu muda

Bayi merdeka: Momen manis bagi dua ibu muda

ANNE Seietta (kanan) dan Fazreenhani Mohd. Johan selamat melahirkan bayi merdeka pada tarikh keramat 31 Ogos di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua ibu muda di Hospital Tunku Azizah di sini, menerima anugerah paling istimewa apabila menyambut kelahiran anak mereka tepat pada Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke-67 negara, menjadikan detik bersejarah itu lebih bermakna buat keluarga masing-masing.

Pengusaha perniagaan burger, Anne Seietta, 31, berkata, dirinya tidak pernah menyangka bahawa kelahiran anak keduanya akan jatuh tepat pada hari kemerdekaan.

Katanya, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, dia berasa teruja menyambut kelahiran bayi lelaki seberat 2.6 kilogram (kg) yang merupakan anak keduanya melalui pembedahan (Caesarean).

“Ini adalah anugerah terindah buat saya dan suami. Memiliki anak yang lahir pada hari bersejarah ini hidup keluarga saya lebih bermakna. Saya juga tidak menyangka dapat melahirkan anak pada tarikh penting ini.

“Anak sulung saya sangat teruja dengan kehadiran adiknya. Kami semua berasa amat bersyukur dan terharu dengan kehadiran ahli keluarga baru ini pada hari yang penuh bermakna ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Bayi Merdeka 2024, di sini hari ini.

Seorang suri rumah, Fazreenhani Mohd Johanna, 23, turut berkongsi kegembiraan yang sama apabila menyambut kelahiran anak sulungnya, seorang bayi perempuan seberat 3.2 kilogram (kg).

“Ini adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya rasa amat bertuah kerana anak saya dilahirkan pada Hari Kemerdekaan. Ini adalah hadiah terbesar untuk saya dan suami.

“Tarikh melahirkan saya sebenarnya 13 September. Saya tidak pernah sangka anak pertama saya akan lahir pada hari Merdeka. saya harap anak saya dapat membesar dengan sihat,” katanya.

Sambutan Bayi Merdeka 2024 merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Obstetrik dan Gineakologi Hospital Tunku Azizah sebagai penghargaan kepada ibu dan bayi yang dilahirkan pada 31 Ogos.

Pihak hospital turut memberikan sumbangan istimewa berupa barangan bayi dan baucer tunai kepada para ibu dan bayi Merdeka sebagai tanda peringatan hari yang bersejarah ini.

Sementera itu, Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin berkata, sambutan kelahiran bayi Merdeka ini adalah tradisi tahunan yang dilaksanakan sejak hospital ini mula beroperasi pada tahun 2019.

“Secara purata, Hospital Tunku Azizah mencatatkan antara 30 hingga 50 kelahiran sehari. Jadi, kami menjangkakan angka yang sama untuk hari ini.

“Alhamdulillah, setakat pagi ini, kami telah menyambut kelahiran seramai 12 bayi Merdeka, dengan kelahiran pertama pada jam 12:51 pagi tadi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya