Barisan Kabinet disekat rebut jawatan presiden persatuan sukan

 Menteri, timbalan tidak dibenarkan terajui persatuan sukan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini memutuskan anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri tidak dibenar menjadi presiden dalam mana-mana persatuan sukan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketetapan tersebut  diputuskan hari ini dan dasar tersebut  sudah diamalkan  berdasarkan keputusan Kabinet pada  2007.

“Serentak keputusan itu, saya sama seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan  untuk tidak bertanding merebut  jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

“Berkuat kuasa serta-merta saya menarik diri daripada bertanding sebagai calon Presiden KLFA,”  katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, beliau telah berhubung dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi mendapatkan nasihat dan panduan.

Fahmi berkata, sebarang urusan berkaitan pemilihan presiden KLFA, boleh dirujuk kepada persatuan itu kelak.

Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan secara rasmi menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Presiden  KLFA.

Nik Nazmi dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet telah memutuskan bahawa anggota pentadbiran tidak dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan persatuan sukan.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meletak jawatan Mac lalu.

Kongres pemilihan baharu jawatankuasa KLFA dijadual berlangsung 7 September ini.

Ditanya sama ada mesyuarat Jemaah Menteri membangkitkan mengenai keputusan pihak kerajaan bersetuju agar Sarawak menjadi penganjur bersama bagi Sukan SEA 2027, Fahmi berkata, tiada perbincangan berhubungi perkara  itu.

Namun beliau meminta perkara tersebut dirujuk kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN