Barangan terpakai, kitar semula jadi hiasan merdeka SKMBII

Barangan terpakai, kitar semula jadi hiasan merdeka SKMBII

JURA Hamid (berdiri, tengah) bersama warga SKMBII pada Pertandingan Projek Kitar Semula (MERDEKA) sekolah itu di Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sekolah Kebangsaan Machang Bubok II (SKMBII) memanfaatkan sepenuhnya penggunaan barangan terpakai dan kitar semula untuk dijadikan hiasan sempena sambutan merdeka pada tahun ini.

Guru Besar SKMBII, Jura Hamid berkata, kempen penggunaan barangan tersebut secara meluas selaras dengan status sekolah tersebut sebagai antara penerima Anugerah Sekolah Hijau sebelum ini.

Beliau berkata, antara bara­ngan yang digunakan termasuk tayar kereta terpakai, botol sabun, botol air minuman, kayu-kayu lama, kotak kasut, bola ping-pong lama dan lain-lain.
Katanya, untuk menjadikan suasana lebih meriah, pihak sekolah menganjurkan Pertan­dingan Projek Kitar Semula (MERDEKA) yang melibatkan 20 kelas perdana serta tiga kelas pendidikan khas bermula 1 Ogos yang lalu.

“Boleh dikatakan semua 613 orang murid terlibat dengan bimbingan guru kelas, guru pembantu serta waris murid.

“Ini kali pertama kita anjurkan pertandingan seperti ini dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara hiasan atau rekaan yang mencuri perhatian termasuk binaan traktor daripada pelbagai barangan terbuang dan kitar semula serta Laman Malaysia Madani yang masing-masing diusahakan oleh murid tahun lima dan enam.

“Binaan traktor mengambil masa yang agak lama, namun, ketelitian serta kreativiti murid dengan dibantu oleh guru yang menjadikan projek berkenaan tidak sukar untuk disiapkan,” katanya yang memberitahu, kebanyakan projek melibatkan kos yang rendah sahaja.

Dalam pada itu, Jura berkata, selain Pertandingan Projek Kitar Semula (MERDEKA), pihak sekolah turut mengadakan beberapa program lain berkaitan merdeka pada tahun ini.

Katanya, antara program itu termasuk Cop Bendera Merdeka, Hiasan Kelas Kemerdekaan, Se­namrobik Merdeka, Video Kreatif Merdeka, pameran bertema, kuiz pameran dan spontan.

Ujarnya, turut diadakan ialah Nyanyian Merdeka, Sajak Merdeka, binaan replika mercu tanda, folio sejarah, pakaian beragam dan permainan tradi­sional sempena merdeka.

“Objektif utama penganjuran ialah untuk menyemai semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid sekolah dan alhamdulillah, ia tercapai,” kata Jura. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN