Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selesai dipulihara

Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selesai dipulihara

MAHKAMAH Tinggi di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang berusia 119 tahun selesai dipulihara untuk menjadi warisan negara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jurucakap Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, kejayaan projek menaik taraf dan memulihara mahkamah tersebut membuktikan bahawa kepesatan pembangunan negara tidak menjejaskan sebarang warisan dan nilai sejarah.

Malah katanya, di sebalik semua itu, Malaysia masih mampu memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara bijaksana, berkesan dan mampan bagi manfaat generasi masa akan datang.

“Projek yang dilaksanakan secara rundingan konven­sional ini melibatkan kos kontrak sebanyak RM18.933 juta dan ia telah dimulakan pada 1 Disember 2021 serta siap sepenuhnya pada 13 Julai 2024.

“Projek milik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri ini te­lah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia de­ngan Pengarah Kerja Raya Ne­geri Pulau Pinang sebagai Pegawai Penguasa,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, satu majlis pe­nyerahan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu dilakukan dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail yang mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mengulas lanjut, jurucakap KKR itu berkata, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu adalah salah satu faktor atau elemen utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

“Bangunan mahkamah ini yang mula dibina 1901 dan digunakan pada 1905 telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya