Bagaimana UMNO mampu menjadi dominan?

Bagaimana UMNO mampu menjadi dominan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang tidak syak lagi ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU) seharusnya menjurus kepada pengolahan dasar kerana sebagai presiden ucapan itu memberi petunjuk kepada perwakilan apa yang patut ditekankan dalam perbahasan mereka.

Tidak penting UMNO hanya mempunyai 26 kerusi atau pun UMNO juga adalah sebahagian dari kerajaan persekutuan, tetapi hakikatnya sebagai seorang ketua kepada organisasi politik tertua di Malaysia, hala tuju perjuangan perlu diterapkan kepada semua pemimpin dan akar umbi parti.

Seperti mana calon presiden Parti Demokrat, Kamala Harris dalam ucapan penerimaan pencalonan telah membakar semangat ahli parti itu dengan perancangan jika menjadi Presiden Amerika, tugas Presiden UMNO adalah begitu jua.

Tetapi satu perkara yang menarik dalam ucapan dasar tersebut terkandung dalam mukadimah ucapan dimana Ahmad Zahid berhujah konsep kerajaan perpaduan yang UMNO menjadi pendokongnya bukan satu perkara baharu dalam senario politik Malaysia.

Dengan lebih tepat perkongsian kuasa dalam membentuk kerajaan telah lama diamalkan contohnya sebelum merdeka pada 1955 perkongsian kuasa antara UMNO, MCA dan MIC melalui ikatan yang dinamakan Perikatan.

Selepas itu perkongsian kuasa melalui ikatan Barisan Nasional dengan 13 parti politik lain termasuk di Sabah dan Sarawak yang menjadi teraju kerajaan persekutuan selama lima dekad lamanya.

Bezanya perkongsian pada ketika itu UMNO adalah parti yang dominan tidak seperti sekarang dan Ahmad Zahid memberi peringatan supaya ahli UMNO jangan terlalu nostalagia dengan masa lampau kerana perkongsian kuasa seperti BN-PH adalah kelaziman politik masa kini.

Ahmad Zahid melontarkan bagaimana UMNO perlu kembali menjadi dominan.

Jika Ketua Pemuda dalam ucapannya mentakrifkan UMNO akan menjadi dominan apabila menguasai dua pertiga daripada 222 kerusi Parlimen, tetapi jika diteliti ucapan dasar Presiden, Ahmad Zahid mengutarakan strategi yang agak berlainan tetapi menarik dan lebih realistik.

Jika ditinjau perolehan kerusi Parlimen pasca PRU15 adalah setiap parti secara individu paling hebat mempunyai kekuatan antara 30 hingga 40 kerusi.

Sementara UMNO sebagai parti secara individu mempunyai 26 kerusi.
Sebab itu Ahmad Zahid berhujah untuk UMNO menjadi dominan kembali tidak semestinya perlu mempunyai 148 kerusi Parlimen tetapi perlu bijak menentukan siapa rakan kongsi politik demi menjayakan penubuhan kerajaan persekutuan.

Sebab itu Ahmad Zahid menekankan UMNO perlu mempunyai pandangan terbuka dalam hal kerjasama dengan parti politik lain dimana tidak semestinya dengan PH sahaja.

Dengan memberi penekanan senario politik global seperti di Perancis, Belanda, Jerman, Itali dan Jepun dimana perkongsian politik adalah kehendak semasa maka ahli UMNO perlu sentiasa bersedia untuk berkongsi kuasa.

Bukannya UMNO tidak mampu mencapai gemilang lampau iaitu mempunyai majoriti mudah atau dua pertiga tetapi hakikatnya UMNO perlu realistik dalam merangka strategi kembali menjadi dominan.

Sebab itu Ahmad Zahid menekankan jangan terlalu mengenang kembali bagaimana UMNO telah banyak membantu negara dalam mencapai kemakmuran yang dinikmati pada ketika ini, tetapi memikirkan strategi dan perlu berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang lebih berbagai tetapi berkualiti tinggi supaya tetap relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks.

Saranan ini berkait jua dengan ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO sebelum ini oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru ahli UMNO tidak terikut sangat rentak pengamalan politik toksik iaitu politik bersandar retorik semata-mata tanpa perbincangan yang menjurus kepada dasar yang memerlukan pengolahan statistik dan data.

Seharusnya pesanan daripada presiden ini menjadi petunjuk kepada semua perwakilan yang akan berbahas. Amat berbahaya untuk mengguna pakai keputusan PRK Nenggiri sebagai asas penghujahan UMNO perlu bergerak solo pada PRU16.

Tetapi dari sudut yang lebih positif kemenangan bergaya di Nenggiri adalah kerana UMNO mengguna pakai strategi yang betul sehingga memberi keyakinan kepada pengundi.

Begitu jua pesanan presiden adalah untuk UMNO kembali menjadi dominan dalam poltik tanahair, startegi yang betul juga harus dirangka.

Azmi Hassan ialah Felo Majlis Profesor Negara dan Felo Kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara (NASR)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN