‘SAYA pernah cakap kepada Apek, saya tidak sayang Senario.’
Demikian pengakuan salah seorang ahli Senario, Lan, atau lebih dikenali dengan panggilan Lan Pet Pet.
Bukan kecil hati atau sengaja menjauhkan diri, namun pemilik nama sebenar, Mazlan Ahmad, 55, mula merasa cita-cita dan impian hidupnya sudah berbeza. Baik dunia jenaka atau pentas lawak, kedua-duanya bukan lagi keutamaan.
Beberapa tahun ini, Lan banyak memberi fokus kepada perniagaan makanan yang diusahakan membuatkannya sibuk mengikuti karnival yang berlangsung hampir setiap bulan seluruh Malaysia. Kesempitan waktu itu membuatkan Lan jarang dapat meluangkan masa bersama Senario apalagi terlibat dalam persembahan.
Namun begitu, ujar Lan, kehilangan seorang sahabat karib iaitu Allahyarham Hamdan pada Januari lalu memberikan tamparan sangat hebat.
Tambahan pula, arwah pergi menghadap Illahi ketika bersama ahli Senario yang lain ketika persembahan di Johor Bahru.
“Waktu itu saya tiada bersama mereka kerana sedang berniaga di Ipoh. Saya tidak sempat ke hospital. Tapi berkesempatan hadir memberi penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Tambun.
“Di kubur, isteri arwah Hamdan iaitu Lin datang jumpa saya. Dia kata semasa hayat, Hamdan selalu tanya ‘Lan di mana? Lan tidak datangkah? Arwah rindu kau’.
“Peristiwa itu menjentik hati saya membuatkan saya ‘u-turn’ kembali kepada Senario. Ukhuwah kami semua begitu kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lan mengakui, dia terpaksa menangguhkan sebuah tawaran kerja yang memintanya untuk bermastautin selama setahun di luar negara. Lan kembali meletakkan Senario di tempat utama.
“Balik daripada kubur, saya terus cakap kepada isteri untuk kembali ke pangkuan Senario. Kami tak gaduh. Mereka sambut saya dengan tangan terbuka dan mengakui sangat merindui saya,” jelasnya.
Rezeki lain dengan cara berbeza
Walaupun hasrat untuk bermastautin di luar negara terpaksa ditangguhkan, siapa sangka Lan menerima tawaran untuk mengendalikan kandungan syarikat kembara ke Turki.
Dalam tawaran bersama syarikat Al Maliki Travel, Lan bakal terbang ke Turki selama 12 hari bagi menelusuri jejak para solihin seperti Nabi Ayub, Nabi Ibrahim dan lain-lain.
“Walaupun saya pelawak, saya nak buat benda yang berguna. Sebelum ini, banyak perkara yang ingin saya lakukan seperti menyertai Asia’s Got Talent tapi tidak mahu cakap, takut tidak jadi.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka ada ditaja ke Turki untuk mengembara dunia orang alim. Perkara ini spontan kerana ustaz daripada syarikat itu kata saya ada magis membuatkan orang nak tengok saya.
“Ini rezeki yang dikurniakan Allah sejak buat umrah tempoh hari. Saya juga berjinak-jinak mempelajari bahasa Arab,” katanya.