PUNCAK ALAM: Abang sulung kepada Allahyarham Nidza Afham, Muhammad Nidza Irfan, 33, mendedahkan adiknya sudah membuat persiapan untuk bergelar seorang suami.
Menurutnya, dalam komputer riba yang digunakan, arwah Afham menyimpan sebuah folder khas yang berisi kandungan tentang makna bacaan dalam solat.
“Sejak bekerja dengan saya, dia ada tanya tentang mengurus kewangan dan pelaburan.
“Selain itu, disebabkan dia dalam persiapan untuk menjadi seorang suami, saya lihat dalam komputer ribanya ada folder khas yang memuatkan makna-makna dalam solat.
“Mungkin dia nak solat lebih khusyuk. Dalam telefon bimbitnya juga ada,” katanya.
Nidza Irfan ditemui Utusan Malaysia selepas majlis pengebumian di Puncak Alam, semalam.
Walaupun sedih menerima pemergian adik tercinta, Irfan bagaimanapun akan menyimpan memori indah sepanjang hayatnya bersama Afham.
“Saya akan rindu cara gelak dia. Cara dia bergurau. Dia suka tambah ‘minyak’ kalau kita gurau adik-beradik.
“Semua memori yang ditinggalkan oleh arwah indah-indah belaka. Memori indah itu kami tak akan tukar kepada memori sedih,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tapak Perkuburan Islam Bandr Puncak Alam sekitar pukul 6:45 petang tadi.
Proses pengebumian disempurnakan oleh Nazir Masjid Puncak Alam, Aiman Wafiy Roslan.
Menerusi laporan bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam hari ini, pihak polis bagaimanapun mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR). -UTUSAN