Artis bertiktok tak curi duit orang - Fauziah Nawi - Utusan Malaysia

Artis bertiktok tak curi duit orang – Fauziah Nawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA artis veteran mencari pendapatan di TikTok sewajarnya diteladani dan dipuji. Dalam kemerosotan peluang pekerjaan selain persaingan dengan pendatang baharu, golongan artis veteran memanfaatkan media sosial sebagai punca rezeki untuk menampung kehidupan.

Namun, amat menyedihkan apabila usaha artis-artis ini dipandang negatif netizen, sehingga mereka dikecam dan dipersendakan disebabkan usia mereka yang dikatakan sudah terlalu lanjut untuk bermain TikTok.

Itu yang terpaksa dihadap pelakon veteran, Norlia Ghani dan Salih Yaacob yang tidak terkecuali dikecam teruk dan dikutuk di media sosial.

Pelakon, Datuk Fauziah Nawi meluahkan rasa kecewa terhadap sikap netizen yang sanggup mematahkan semangat artis-artis lama yang mencari rezeki di platform tersebut.

Fauziah hairan, mengapa pembabitan mereka di media sosial sering menjadi bahan kutukan dan dipersoalkan sedangkan keadaan itu tidak sedikit pun mengganggu periuk nasi orang lain.

“Netizen ini, kalau artis veteran aktif berTikTok mereka kecam, kalau minta bantuan pun dikutuk juga.

“Kalau tak suka, tak perlu tengok artis veteran main TikTok. Janganlah kecam, mereka bukan ambil hak orang lain.

“Artis veteran, walaupun sudah berusia, cari pendapatan selagi berdaya. Tak akan nak duduk tepi kubur, tunggu saat kematian, katanya ketika ditemui pada majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024.

Fauziah pada majlis tersebut merupakan antara penerima Sijil Kemahiran Malaysia bidang Seni Lakon Teater.

Pensijilan itu diberikan berdasarkan kelulusan hasil penilaian yang dilaksanakan badan tersebut selain pengalaman lima dekad beliau dalam bidang berkenaan.

Selain Fauziah, selebriti lain yang turut menerima pensijilan berkenaan adalah penyanyi, Noraniza Idris dan Roslan Madun. Keduanya menjadi penerima bagi kategori nyanyian.

Pelakon filem Sabda Kekasih itu dalam pada itu menyokong kerajinan artis veteran dalam menggunakan media sosial untuk mencari pendapatan.

Katanya, itu menandakan artis lama masih perlu mencari pendapatan kerana bukan semua selebriti hidup mewah dan selesa.

“Contoh Norlia, saya suka dia aktif di TikTok. Dia tak kacau orang. Kalau dia tak ada duit, netizen ini nak hulur kah?

“Doakanlah yang baik, kalau tak suka tak payahlah tengok. Sekurang-kurangnya dia dapat duit. Yang mengata itu? Dapat dosa sahaja,” jelasnya.

Masalah bayaran pelakon veteran tak pernah selesai

“Bayaran pelakon tetap sama.”

Demikian pula luahan Fauziah Nawi, 71, mengenai isu bayaran pelakon, lebih-lebih lagi pelakon lama yang sering bermasalah dan diperkotak-katikkan.

Kata Fauziah, seorang pelakon, lumrah dunia seni tempatan, pelakon lama, sama ada berpangkat atau tidak, kerap dipandang sebelah mata pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, bahkan, sampai hari ini masih ramai pelakon lama yang dibayar rendah meskipun memiliki pengalaman berpuluh tahun dalam bidang berkenaan.

“Jangan letak harapan, ada gelaran, bayaran naik. Mereka (penerbit) tak peduli semua itu. Jadi janganlah kita berharap.

“Pada saya ini semua rezeki masing-masing. Saya pula, memang jenis manusia yang tak kisah, ada job berlakon atau tidak.

“Mungkin sebab dulu saya bekerja, dan pernah buat kerja lain seperti pinjamkan suara untuk voice over dan sebagainya.

“Jadi pendapatan itu saya guna untuk masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya