Amir Masdi dikhianati kawan, luahan di ‘X’ separa gimik - Utusan Malaysia

Amir Masdi dikhianati kawan, luahan di ‘X’ separa gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi, mengakui pernah dikhianati dan dimanipulasi teman rapat beberapa tahun lalu.

Enggan bercerita lanjut, Amir atau Amir Syazwan Masdi, 28, bagaimanapun menyifatkan ia peristiwa paling melukakan dalam hidup membuatkan penyanyi itu menghasilkan sebuah lagu mengenainya yang bakal termuat di album terbaharu.

“Semasa menuliskan lagu itu bersama penerbit, Edry Abdul Halim, dia tanya apakah perkara yang tidak boleh saya lupakan sepanjang hidup.

“Isu dikhianati antara mesej yang saya bawakan dalam album terbaharu. Saya ambil daripada pengalaman lampau.

“Bila sudah besar, kawan-kawan sudah bawa laluan masing-masing. Dalam fasa itu ada jatuh dan bangun.

“Orang yang kita percaya pun boleh tikam belakang. Daripada pengalaman itu, saya jadikan inspirasi untuk lagu dalam album terbaru,” katanya.

Amir ditemui Utusan Malaysia di sidang media Hausboom Music Festival 2024 di Khan’s Indian Cuisine, di sini, semalam.

Sementara itu, penyanyi ‘Puas’ tersebut mengakui luahan perasaan di aplikasi ‘X’ yang dimuat naik beberapa hari lalu adalah cuplikan daripada lagu album terbaharu yang bakal terbit Oktober ini.

“Saya tidak sangka orang akan bagi reaksi sebanyak itu mengenai hantaran tersebut. Tapi Alhamdulillah bagus kerana ia boleh dikatakan teaser untuk lagu akan datang. Boleh dikatakan gimik secara tidak langsung.

“Sebenarnya kalau tengok di Instagram, saya sedang mempromosikan album terbaharu. Jadi di aplikasi ‘X’ saya tulis kata-kata.

“Lagu saya nanti akan turut membawakan cerita percintaan, semangat keluar daripada zon selesa dan rasa dikhianati,” katanya.

Terdahulu, Amir mencuri perhatian apabila memuat naik luahan perasaan berbaur kesedihan di aplikasi ‘X’.

Bagaimanapun, Amir berterima kasih kepada peminat yang prihatin terhadap keadaan dirinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN