Amalan biasa kenaikan pangkat ikut tahun pengalaman tidak diteruskan

Amalan biasa kenaikan pangkat ikut tahun pengalaman tidak diteruskan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan meneruskan lagi amalan biasa kenaikan pangkat penjawat awam bersandarkan pengalaman dan tempoh masa perkhidmatan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sebaliknya akan menaikkan pangkat penjawat awam berdasarkan prestasi dan perkhidmatan yang baik walaupun kurang dari 10 tahun.

Sehubungan itu, katanya, hanya penjawat awam yang benar-benar layak diberi ganjaran melalui kenaikan gaji lebih tinggi. 

“Satu kalangan kecil atau minoriti (penjawat awam) yang mengeTepikan prinsip amalan bersih, cuai dan malas, tidak akan diberi layakan dan ganjaran setimpal.  

“Saya harap seluruh penjawat awam menerima kenyataan ini. Tidak mungkin kerajaan akan meneruskan amalan biasa siapa yang bekerja 10, 15 atau 20 tahun, dia naik pangkat ikut amalan biasa. Ini sudah tidak boleh lagi. 

“Tetapi, yang bekerja dan berkhidmat dengan baik akan dinaikkan walaupun belum cukup. Kalau dia lembab, malas dan cuai walaupun dia bekerja 20 tahun, peningkatan gajinya tidak akan dijamin,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX), Perkhidmatan Awam Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. 

Dalam pada itu, Anwar mahu melihat penjawat awam bekerja dengan semangat dan budaya kerja yang baharu mulai Isnin minggu depan. 

Beliau tidak mahu selepas peningkatan gaji diberi, perkhidmatan kepada orang awam masih di takuk lama.

“Kita tidak mahu selepas tingkatkan gaji tetapi orang awam masih pertikai, kenapa kami (rakyat) masih menunggu lama sehingga dua jam untuk mengambil lesen? ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN