Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan digubal akhir tahun ini - Rafizi

Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan digubal akhir tahun ini – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggubal Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan pada akhir tahun ini bertujuan memudahkan dan menyeragamkan prosedur memulakan perniagaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cadangan pembentukan akta tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) sebanyak dua kali iaitu Mac dan Ogos lalu.

Beliau berkata, akta baharu itu seiring dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

“Keputusan kerajaan adalah untuk memudah cara perniagaan, kita akan mengambil langkah melalui satu akta. Akta ini akan memberi garis panduan kepada kerajaan bagi memudah cara pendaftaran perniagaan dan mengelak karenah birokrasi.

“Ia lebih kurang selari dengan FRA yang telah diperkenalkan tahun lalu. Akta Iltizam konsepnya sama, meletakkan garis kecekapan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan dan perlu dibincangkan di Parlimen,” katanya selepas melancarkan Laporan Ekonomi Terhadap Malaysia 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), di sini hari ini.

Katanya, kerajaan sedia maklum bahawa tahap daya saing negara diukur melalui karenah birokrasi.

Namun, beliau berkata, pihaknya telah menumpukan kepada mencari jalan bagaimana kerajaan boleh menambah baik perkara ini.

Dewan Rakyat pada tahun lalu telah meluluskan FRA yang disifatkan bakal menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam fiskal dan ekonomi negara diurus dengan lebih baik.

Empat perkara utama ditetapkan untuk dicapai dalam FRA iaitu perbelanjaan pembangunan tidak kurang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak boleh lebih 60 peratus KDNK; paras defisit mesti tidak boleh lebih tiga peratus daripada KDNK dan jaminan kerajaan termasuk kontingen liabiliti mesti tidak boleh lebih 25 peratus daripada KDNK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN