PETALING JAYA: Penyanyi yang semakin meningkat naik, Aisha Retno mengakui dirinya sudah mempunyai kekasih hati tanpa mendedahkan siapa gerangannya.
Kata Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Reto Sayed Sipulijam, jejaka pilihan hatinya itu sangat memahami dan menerima kerjayanya sebagai seorang anak seni.
“Aisha sudah berpunya atau tidak? Asalkan orang itu boleh terima dengan keadaan jadual saya yang padat.
“Dan dia terima, begitulah,” katanya ketika menjadi tetamu di audio siar Buka Mulut di Instagram MyAudioPlus.
Kongsi penyanyi Sutera itu lagi, dia menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai keluarga dan kenalan rapat yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang bergelar anak seni.
Katanya, tanpa sokongan daripada mereka, dia mungkin tidak dapat mencapai kejayaan seperti sekarang.
“Hendak sampai ke titik ini bukan satu perjalanan yang mudah, saya rasa tak akan berjaya tanpa sokongan ibu bapa dan rakan-rakan saya.
“Bukan jalan yang mudah, tanpa sokongan mereka dan usaha serta minat saya selama ini. Saya tak rasa mampu ada di sini,” kongsinya.-UTUSAN